Nasionalpilihan

Guna nama Perqaseh untuk lakukan penipuan

SEORANG peniaga barangan terpakai rugi RM15,000 selepas ditipu individu yang menggunakan nama Pertubuhan Kebajikan Nurqaseh PDRM Malaysia (Perqaseh).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, peniaga tersebut membuat laporan polis pada kelmarin.

“Pada awal April lalu, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Pegawai di Jabatan Kerajaan dengan tujuan meminta sumbangan ke tabung PERQASEH.

“Mangsa dijanjikan dengan membuat sumbangan, ianya akan memudahkan mangsa mendapatkan lesen bagi menjalankan perniagaan barangan lusuh,” katanya.

Menurut Mohd Mahidisham, sejak April sehingga September lalu, mangsa telah membuat tiga transaksi berjumlah keseluruhan RM15,000 dalam bentuk tunai kepada empat individu yang mengaku sebagai wakil PERQASEH.

Jelasnya, mangsa sedar dirinya ditipu kerana masih tidak menerima lesen seperti dijanjikan.

“Siasatan awal dengan pihak Perqaseh mengesahkan tidak menerima sebarang sumbangan dalam bentuk tunai,” katanya.

Tambahnya, kes kini disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Mohd Mahidisham mengingatkan orang ramai bahawa PDRM tidak pernah melantik mana mana individu, syarikat atau persatuan dan tidak pernah menetapkan sebarang sumbangan untuk menerima, memproses atau meluluskan permohonan bagi mendapatkan lesen barangan lusuh.

Ujarnya, orang ramai dinasihatkan supaya membuat permohonan lesen mengikut saluran yang ditetapkan dan tidak melalui individu atau pertubuhan tertentu. -SM

(Visited 731 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button