fbpx
Nasional

Kes Covid-19 baharu melonjak hampir sekali ganda

Kebanyakan berkaitan perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling

JUMLAH keseluruhan kes Covid-19 meningkat hampir sekali ganda dalam masa 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan 428 kes.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata terdapat 190 kes baru yang direkod setakat 12 tengah hari tadi.

“Berdasarkan siasatan awal, kebanyakan kes berkaitan dengan kluster perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling,” katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Ia merupakan rekod peningkatan jangkitan paling tinggi dalam masa sehari.

Pertambahan jangkitan kedua tertinggi direkodkan semalam dengan 41 kes baru.

Sementara itu, jumlah pesakit Covid-19 yang berada di unit jagaan rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan juga meningkat daripada lima ke enam orang.

Adham berkata usaha untuk menjejaki peserta himpunan Tabligh itu masih berjalan.

Perhimpunan Ijtima Tabligh di Masjid Sri Petaling berlangsung dari 27 Februari ke 1 Mac lalu, melibatkan kira-kira 16,000 hadirin.

Dianggarkan sekitar 14,500 rakyat Malaysia ikut serta, manakala 1,500 lagi hadirin terdiri daripada warga asing.

“Kementerian Kesihatan menggesa para peserta himpunan Tabligh untuk menghubungi pusat kesihatan daerah yang terdekan bagi tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata peserta dan kontak rapat mereka perlu dikuarantin selama 14 hari.

Dalam perkembangan berkaitan, Adham berkata seramai tujuh pesakit Covid-19 telah sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh sebanyak 42 orang.

Show More

Related Articles

Back to top button