KesihatanLuar NegaraPenyakit

Kes cacar monyet: Pengembara transit di Singapura

SEKARANG cuti sekolah dan kalau teragak nak melancong ke Singapura, rakyat Malaysia tolong berhati-hati kerana adanya kes cacar monyet yang melibatkan pengembara yang transit di negara republik itu pada 2 Jun lalu.

Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura pada Sabtu lalu dimaklumkan Kementerian Kesihatan New South Wales mengenai satu kes cacar monyet melibatkan pengembara yang transit di Singapura.

Dalam satu kenyataan semalam, MOH memaklumkan bahawa pengembara itu tiba di Sydney pada 3 Jun lalu dan disahkan positif cacar monyet.

“Pengembara itu dikatakan berlepas dari Barcelona pada 1 Jun dan tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 2 Jun lalu,” kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan yang sama, pengembara itu berada di kawasan transit di Lapangan Terbang Changi sebelum meneruskan perjalanan ke Sydney pada hari sama dan tidak melawat kawasan lain di Lapangan Terbang Changi.

Memandangkan pengembara tersebut tidak masuk ke Singapura atau berinteraksi dengan sesiapa dalam komuniti, buat masa ini tiada risiko penularan komuniti yang ketara, jelas kenyataan tersebut.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak MOH telah menjalankan pengesanan kontak untuk dua penerbangan yang terjejas dan mereka yang mungkin bersentuhan dengan pengembara itu di kawasan transit.

MOH memutuskan tiada keperluan untuk kuarantin memandangkan tiada kontak rapat selepas penilaian dibuat.

“Bagaimanapun, kami akan memantau 13 orang yang mungkin mempunyai kontak kasual selama 21 hari,” menurut kementerian itu.

Di bawah pemantauan itu, mereka yang terlibat akan menerima panggilan telefon setiap hari untuk memastikan status kesihatan sehingga tamat tempoh pengawasan.

“Jika mereka melaporkan simptom yang menunjukkan jangkitan cacar monyet, mereka akan dinilai dari segi perubatan dan mungkin dihantar ke Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan untuk penilaian lanjut,” katanya. – SM

 

(Visited 208 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button