Nasionalpilihan

Pemilik bas ekspres mengundur diambil tindakan – JPJ

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka sudah mengambil tindakan terhadap pemilik sebuah bas ekspres yang dipandu secara mengundur sejauh satu kilometer selepas terlepas susur keluar di Simpang Ampat, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Selasa lalu.

Pengarahnya Muhammad Firdaus Shariff berkata, hasil maklumat dan siasatan, JPJ telah mengeluarkan notis temu siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kepada pemilik bas berkenaan.

Menurutnya, tindakan itu adalah untuk mengenal pasti butir-butir pemandu terlibat bagi melengkapkan siasatan kes dan kegagalan mematuhi notis ini membolehkan tindakan kompaun dikenakan terhadap pemilik syarikat bas berkenaan.

“Tindakan senarai hitam ke atas syarikat terbabit boleh diambil sekiranya gagal membayar kompaun tersebut.

“Sekiranya didapati bersalah, pemandu tersebut boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 79(2) 1987 kerana tidak mematuhi/mengabaikan isyarat lalu lintas.

“Ia termasuk juga tindakan mengikut Kaedah 15(d) Kaedah-Kaedah Kenderaan Perkhidmatan Awam 1959 kerana tidak memastikan keselamatan penumpang semasa berada di dalam atau semasa menaiki atau turun daripada kenderaan.

“Kaedah 53 kaedah-kaedah lalu lintas jalan 1959 kerana memandu kenderaan di lorong kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Satu klip video berdurasi 43 saat tular dipercayai dirakam penumpang bas berkenaan menunjukkan beberapa penumpang di dalam bas yang kebanyakannya warga emas mempersoalkan tindakan pemandu bas terbabit.

“Bas terlangsung (terlajak) susur keluar Simpang Ampat, Alor Gajah lebih kurang satu kilometer, kemudian bas mengundur ke belakang di lebuh raya dan masuk semula susur keluar.

“Perbuatan ini sangat-sangat berbahaya kepada kami penumpang bas tersebut dan berharap ada tindakan daripada pihak berwajib,” tulis keterangan itu,” katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Firdaus berkata, JPJ memandang serius perkara ini dan menasihatkan semua pemandu kenderaan persendirian, perkhidmatan awam dan perdagangan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya. – SM

(Visited 53 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button