MahkamahNasional

Kes bicara Zahid Hamidi: Tunggu 23 Sept bela diri atau tidak

Zahid berhadapan 40 pertuduhan rasuah RM42 juta

BEKAS Timbalan Perdana Menteri dan juga bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengetahui sama ada beliau akan dipanggil untuk membela diri atau tidak pada 23 September ini nanti.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Yazid Mustafa terhadap Zahid yang berhadapan dengan 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk lanjutan kontrak sistem visa asing (VLN).

Hakim Yazid Mustafa memaklumkan pihak pendakwaan dan pembelaan tarikh itu, hari ini, selepas mendengar hujahan lisan sejak 1 September lalu.

“Saya menentukannya pada Jumaat, 23 September kerana itulah hari yang saya biasa sampaikan keputusan,” katanya.

Yazid turut memerintahkan pihak pendakwaan dan pihak pembelaan supaya membuat hujahan lisan mereka secara bertulis dan menyerahkannya kepada mahkamah selewat-lewatnya pada 13 September.

Untuk rekod, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 18 orang saksi. Perbicaraan bermula pada 24 Mei tahun lalu dan berlangsung selama 33 hari.

Pendakwaan turut menawarkan kepada pasukan peguam Zahid senarai 27 saksi sekiranya pihak pembelaan mahu memanggil mereka.

Termasuk dalam senarai itu ialah bekas ketua pengarah imigresen, Datuk Mustafar Ali yang juga Ketua Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC). Beliau juga pernah berkhidmat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lain-lain saksi termasuk Chong Kian Leong @ Raymond, pengarah di syarikat Hong Kong Maintech System HK Ltd, dan Fong Mee Yee, pengarah di Visa Malaysia Ltd Hong Kong.

Zahid yang juga Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bagan Datuk berdepan 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi tujuan menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali pusat sehenti di China dan sistem visa asing (VLN) serta mengekalkan kontrak pembekalan sistem bersepadu VLN.

Zahid juga berdepan tujuh lagi tuduhan mengikut Kanun Keseksaan, iaitu memperoleh SGD1.15 juta, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan USD15,000 daripada syarikat yang sama berhubung tugas rasminya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Seri Satria di Presint 16, Putrajaya, dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018. – SM

(Visited 398 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button