Politik

BN sudah guna wang pampasan untuk nelayan – Adly

Pakatan Harapan (PH) mendakwa kerajaan negeri BN telah menggunakan wang pampasan untuk nelayan sebelum pilihan raya umum (PRU) 2018.

Bekas Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata, selepas mengambil alih kuasa susulan kemenangan semasa PRU14, mereka mendapati sejumlah RM33 juta pampasan yang sepatutnya diberikan kepada nelayan tidak pernah pun dibayar.

Wang pampasan itu berkaitan kerja penambakan laut untuk penyambungan jeti pelabuhan Tanjung Bruas.

“Sepatutnya, wang itu telah diasingkan sebagai dana khas buat nelayan, dan kerajaan negeri sepatutnya telah pun membayar jumlah pampasan itu kepada mereka.

“Bila kita ambil alih kerajaan kita tahu angka itu adalah RM33 juta.

“Tetapi itu hanya angka yang ada di atas kertas, tetapi telah digunakan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Menurut bekas ketua menteri itu, kerajaan BN telah menggunakan pampasan itu untuk membayar gaji penjawat awam dan menganjurkan majlis-majlis kerajaan, kerana kekurangan peruntukan.

Kata Adly, di bawah kepemimpinannya, kerajaan PH cuba mendapatkan wang bagi menampung jumlah yang telah digunakan itu dan mengagihkan sejumlah RM8 juta kepada nelayan sebelum kerajaan negeri tumbang pada Mac 2020 kerana peralihan sokongan.

Gabungan Umno-Bersatu mengambil alih kerajaan negeri daripada PH, di bawah teraju Sulaiman Md Ali. Sulaiman kemudian telah mengarahkan pelabuhan Tanjung Bruas untuk memberikan pampasan kepada nelayan.

Bagaimanapun, nelayan mendakwa yang mereka belum menerima wang pampasan berkenaan.

Kerja penambakan laut, kata mereka, telah memusnahkan ekosistem dan persekitaran, mengusir hidupan marin pantai dan menjejaskan kehidupan mereka.-SM

(Visited 135 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button