Nasional

Zambry membuat lawatan ke London sempena Hari Komanwel

Usaha untuk terus memperbaiki hubungan kedua-dua negara

MENTERI Luar Malaysia Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bertemu rakan sejawatannya Ali Sabry dari Sri Lanka dan Abdulla Shahid dari Maldives semasa lawatan kerja tiga hari beliau ke London sempena sambutan Hari Komanwel yang berakhir pada Rabu.

Zambry dalam satu kenyataan hari ini berkata dalam pertemuannya dengan Ali, kedua-dua mereka sehaluan dalam usaha untuk terus memperbaiki hubungan baik kedua-dua negara yang terjalin sejak sekian lama.

Kedua-dua menteri percaya masih banyak peluang dan ruang untuk penambahbaikan terutama dari segi pelaburan.

“Menurut beliau, Malaysia merupakan penyumbang utama kepada pembangunan sektor telekomunikasi di Sri Lanka,” katanya.

Zambry berkata terdapat banyak lagi bidang pelaburan baharu yang boleh diterokai bersama di Sri Lanka seperti pembangunan pelabuhan, industri hospitaliti dan industri penapisan petroleum.

Tambahnya, perkara itu akan terus diperhalusi melalui mekanisme Rundingan Dua Hala antara Malaysia dan Sri Lanka.

BACA JUGA : https://suaramerdeka.com.my/malaysia-sedia-beri-bantuan-teknikal-kepada-negara-komanwel/

Dalam pertemuan dengan Menteri Luar Maldives, Zambry berkata mereka membincangkan pelbagai perkara terutama usaha meningkatkan keterhubungan bagi mengeratkan hubungan dan meningkatkan interaksi antara rakyat Malaysia dan Maldives.

“Saya juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Maldives dalam bidang pelancongan dan kebudayaan,” katanya.

Kedua-dua menteri itu juga bertukar pandangan mengenai pelbagai isu global dan serantau yang menjadi kepentingan bersama dan bersetuju bahawa Malaysia dan Maldives perlu terus bekerjasama rapat untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

“Tahun ini, Malaysia dan Maldives meraikan ulang tahun ke-55 penubuhan hubungan diplomatik. “Sejak 1968, hubungan dua hala kami dengan Maldives telah diperkukuh berdasarkan nilai budaya dan agama yang sama,” katanya.

Sementara itu, Zambry turut mengambil kesempatan mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia di London dan membincangkan pelbagai isu dalam negeri dan hal ehwal luar negara Malaysia.

“Ternyata, walaupun jauh dari kampung halaman, perasaan cintakan tanah air dan cintakan negara tidak pernah luntur walau di mana mereka berada. Mereka terus memberikan pelbagai idea dan cadangan untuk bekerjasama dalam usaha bersama membangunkan negara,” katanya.

Zambry berkata cadangan mereka akan dibentangkan kepada Kabinet untuk dibincangkan.

Zambry mengetuai delegasi Malaysia ke tiga acara penting Komanwel di London, iaitu Sambutan Hari Komanwel, Mesyuarat Kumpulan Tindakan Menteri Komanwel (CMAG) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Hal Ehwal Luar Komanwel (CFAMM). -SM

 

BACA JUGA : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/malaysia-bersama-asean-akan-terus-cari-penyelesaian-krisis-myanmar-409959

(Visited 44 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button