Hiburan

Julia akui pelihara anjing, tahu batas sebagai Muslim

PERKONGSIAN pelakon Julia Farhana di Instragram story pada Isnin lalu yang memperlihatkan seekor anjing sedang menunggu di luar bilik telah mencuri perhatian dan mula menerima pelbagai pertanyaan daripada netizen.

Tidak mahu membiarkan netizen terus salah faham, Julia atau nama sebenarnya Julia Farhana Marin mengakui dia dan keluarganya mempunyai seekor anjing yang diberi nama Julio.

Bagaimanapun, Julia berkata anjing peliharaan keluarganya sudah dilatih untuk tidak menjilat atau bersentuhan dengan mereka.

“Nama dia Julio dan dia memang anjing peliharaan kami sekeluarga. Selain anjing, saya juga ada tujuh ekor kucing yang semua diselamatkan.

“Saya rasa, perkara ini sensitif dan saya faham sebab sebagai Muslim, mereka risau dengan isu terkena air liur atau bersentuhan masa basah.

“Tapi ia bukan isu untuk saya dan keluarga sebab Julio sudah dilatih dengan baik. Dia takkan jilat atau sentuh kami,” katanya menerusi laporan mStar.

Julia, 27 turut berkata dia tidak pernah bersentuhan dengan Julio dan Julio bukan anjing jenis air liur meleleh.

Jelas pelakon yang berasal dari Kota Kinabalu ini lagi, segala urusan penjagaan melibatkan haiwan peliharaannya itu akan dilakukan oleh pembantu rumah bukan beragama Islam.

“Bagi makan, mandi dan tukar diapers, semua diuruskan oleh pembantu rumah kami yang bukan Muslim. Setiap bulan kami hantar dia ke tempat groomer jadi memang tak akan bersentuhan dalam keadaan basah pun.

“Dia pun tidak akan berlegar-legar dalam rumah, hanya terhad di beberapa kawasan saja. Bilik solat saya pun dekat tingkat paling atas di mana dia tidak boleh masuk,” katanya.

Sementara itu, Julia berkata, dia telah pelihara anjing itu ketika anjing itu berusia dua bulan kerana tiada siapa ingin menjaga kerana masalah kulit.

Tambahnya, dia juga sudah biasa dikelilingi anjing sejak kecil kerana ketika membesar di Australia, ibu bapanya ada membela empat ekor anjing.

Julia turut menyedari tanggungjawabnya dan batas sebagai seorang beragama Islam.

“Saya tahu tanggungjawab sebagai Muslim dan saya nak jaga bukan saja hubungan dengan manusia tapi dengan makhluk hidup seperti haiwan dan sebagainya,” katanya. -SM

(Visited 447 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button