Belang Bertempat

Kerusi marginal peringatkan UMNO-Pas jangan mimpi indah-indah

KEUPAYAAN Barisan Nasional (BN), lebih tepat lagi UMNO sapu bersih kerusi DUN Chini semalam 4 Julai 2020 tidak boleh dijadikan kayu pengukur penguasaan UMNO-Pas di hati rakyat.

Meskipun sekurang-kurangnya sebahagian besar kerusi Melayu-Islam-bumiputera kini dalam penguasaan dua parti Melayu itu serta ditokok sokongan parti Bersatu, Perikatan Nasional (PN) tetap berdepan cabaran getir sukar bertapak di kerusi-kerusi marginal.

Penguasaan kerusi marginal bermaksud sokongan kedua-dua bangsa (Melayu dan Cina) perlu untuk perkuatkan PN.

Mengapa DAP masih memerlukan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai nakhodanya untuk mengetuai Pakatan Harapan (PH) berdepan PH dalam PRU-15? Kenapa DAP tolak Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Walaupun di atas kertas, UMNO berkeyakinan tinggi jumlah undi diterima parti itu dan PAS dalam saingan tiga penjuru pada PRU-14 yang jika dicampur akan memenangkan calon tunggal PN atau Muafakat Nasional (MN) mereka dalam PRU-15, dua parti tersebut masih memerlukan dukungan wakil rakyat bukan Islam.

Ia penting untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Dapatan kajian sebuah firma analitik media sosial Politweet menyaksikan semasa PRU 2013 terdapat 30 kerusi majoriti Cina atau 13.5 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen.

Dalam pada itu sebuah kumpulan pemerhati pilihan raya iaitu Tindak Malaysia mendakwa bilangan kerusi majoriti Cina menurun kepada 24, kebanyakannya di kawasan bandar besar Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.

Daripada 222 kerusi Parlimen, terdapat 155 kerusi luar bandar yang dikuasai Melayu/Bumiputera. Sabah dan Sarawak pula mempunyai 56 kerusi Parlimen iaitu 31 di Sarawak, 25 di Sabah.

Realitinya, tidak semua Melayu menyokong UMNO-PAS. Ini kerana ada orang Melayu yang bersama PKR, parti pelbagai kaum. Melayu/Bumiputera di Sarawak dan Sabah pula ada selera politik tersendiri. PAS sukar diterima di kedua-dua negeri itu, malah UMNO tidak pernah bertapak di Bumi Kenyalang.

Di Sabah, UMNO hampir terkubur dengan kemasukan kemasukan BERSATU. Pada PRU-14 lalu, UMNO memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Kini, ia cuma tinggal satu dua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

UMNO-Pas tidak boleh hantar mesej yang salah dalam menghadapi PRU mengejut (snap election). Sesuatu kawasan itu bukan hanya satu-satu kaum tentukan kemenangan.

Dalam PRU ke-14 lepas, calon BN tidak mungkin kalah kalau orang Melayu berdiri teguh di belakang UMNO. Akhirnya terbukti kalah.

UMNO-Pas perlu perkuatkan sokongan dalam kalangan orang Melayu dan MCA perlu kuat untuk dapatkan sokongan bukan Melayu.

Ambil contoh Johor. Dulu boleh dikatakan Johor `negeri selamat’ buat UMNO.

Dalam PRU 9 Mei 2018, UMNO Johor hanya memenangi 18 kerusi majoriti DUN Melayu dan bakinya tewas.

Johor juga mempunyai sembilan kerusi DUN campuran, dan hanya satu dimenangi pada PRU-14 lalu dengan hanya majoriti 2.3%. Pada masa sama, UMNO mempunyai kerusi kerusi DUN majoriti Cina tetapi kalah kesemuanya.

Ya, UMNO berdepan cabaran getir dengan peluang menang ’50-50’ kerana di negeri itu banyak kerusi marginal.

Antaranya kerusi-kerusi Parlimen Tebrau, Pasir Gudang dan Pulai. Inilah yang menyebabkan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Nur Jazlan Mohamed `pening kepala’.

Lantas sekali gus memberi ruang kepada DAP yang juga musuh UMNO untuk memainkan sentimen menarik pengundi kaum tertentu.

Justeru, kalau PN didaftarkan sebagai gabungan rasmi dan diputuskan pengagihan kerusi (pada PRU-15), maka UMNO dan Pas tidak boleh maksimumkan jumlah calon, kerusi masing-masing dan seterusnya memanfaatkan sokongan undi orang Melayu.

Ia ekoran musuh UMNO di Johor bukannya Bersatu tetapi DAP, PKR dan Amanah.

Situasi ini sama gambarannya di negeri-negeri lain. Undi orang Melayu kelak bukan saja berpecah kepada tiga parti (UMNO, Pas, Bersatu) malah lima juga dengan `disahut’ PKR dan Parti Amanah.

Tempoh hari, BN mempunyai 40 kerusi Parlimen daripada 79 kerusi yang dimenangi pada PRU-14, dengan UMNO menguasai 38 kerusi manakala MCA dan MIC masing-masing memiliki satu kerusi.

PAS pula memenangi 18 daripada 158 kerusi Parlimen yang ditandingi parti itu dan rakan sekutu dalam Gagasan Sejahtera.

Kesediaan menyerahkan sebahagian kerusi DUN kepada rakan sekutu juga dijangka menjadi sebahagian daripada formula penentuan kerusi antara kedua-dua parti.

Bagi kawasan DUN, setiap parti perlu bersedia melepaskannya kepada rakan sekutu bersandarkan kepada konsep ‘memberi dan menerima’ dan situasi menang-menang.

Selepas ditolak kerusi parlimen yang kini disandang Pas iaitu 18 dan UMNO, 38, cuma 166 kerusi parlimen yang akan terbabit dalam pembahagian.

Pas juga perlu realistik dengan tidak menuntut kerusi sama rata bagi 166 kawasan berkenaan kerana UMNO masih lagi parti Melayu Islam yang dominan. Dan bila masuk rakan kongsi dari Bersatu, lain pula ceritanya nanti.

Persefahaman kedua-dua parti Melayu-Muslim terbesar ini akan mengumpulkan tidak kurang 75% sokongan kaum Melayu-Muslim. Melalui persefahaman ini, UMNO-Pas tidak perlu bergabung malah terus bertanding antara satu sama lain.

Apa yang perlu dilakukan, kedua-dua parti bersama Bersatu – menjadikan tiga kesemuanya – mengelakkan bertembung di sejumlah kerusi tertentu untuk mengelakkan PH menang.

Sudah pasti persefahaman seperti ini adalah sebuah mimpi ngeri kepada DAP justeru mereka terus menyerang usaha ini dengan pelbagai tohmahan.

Ya, kesatuan umat Melayu adalah sesuatu yang cukup mahal untuk dicapai.

Kesatuan itu hanya dirindui bila berlaku peristiwa penentangan Malayan Union atau insiden yang seumpamanya.
-SM

(Visited 404 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button