Nasional

Kerjasama dengan Kerajaan Negeri perkasakan sekuriti bekalan negara

KERAJAAN terus mengukuhkan kerjasama antara Kerajaan Negeri bagi memperkasakan sekuriti bekalan makanan negara yang berhadapan dengan pelbagai cabaran akibat daripada senario global pada masa kini. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cabaran-cabaran ini dipengaruhi oleh faktor .

“Antaranya, peningkatan harga input pertanian seperti harga jagung bijian dan baja, kenaikan kos logistik serta cuaca ekstrem yang menyebabkan kekerapan berlakunya banjir dan kemarau yang mengganggu kitaran pengeluaran makanan.

“Untuk itu, Kerajaan Negeri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan daerah bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 yang sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan usai mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri hari ini.

Dalam mesyuarat tersebut, kata Ismail Sabri, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk melaksanakan beberapa inisiatif.

Beliau berkata, inisiatif termasuk meningkatkan keluasan tanah yang sesuai khususnya tanah milik negeri untuk aktiviti pertanian.

“Ini akan dilaksanakan cara mewartakan kawasan tanah pertanian sebagai tanah rizab.

“Ia di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) dan kemudiannya memajakkan tanah rizab berikut di bawah Seksyen 63 KTN untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 sehingga 21 tahun,” ujar beliau.

Katanya lagi, satu lagi inisiatif yang diambil ialah memperkasakan pemberian tanah milik negeri kepada anak syarikat Kerajaan Negeri berkaitan pertanian yang kemudiannya akan memajakkan tanah tersebut kepada usahawan tani untuk tempoh 30 tahun.

“Pihak berkuasa negeri boleh, tertakluk kepada kaedah-kaedah tanah negeri meluluskan tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun dan boleh dilanjutkan seterusnya bagi setiap Lesen Pendudukan Sementara (TOL),” katanya.

Satu lagi langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri ialah mengekalkan pengezonan kawasan jelapang padi.

“Pewartaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan membangunkan TKPM yang terbengkalai serta yang belum dimajukan juga dalam radar inisiatif,” ujar Ismail Sabri.

Perdana Menteri dalam kenyataan yang sama juga memaklumkan, pihak Kerajaan Negerai mengekalkan pewartaan Zon Industri Akuakultur (ZIA) sedia ada dan mewartakan ZIA yang belum diwartakan.

Beliau berkata, di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, kedua-duanya boleh bertindak menyelaras bersama pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan syarat dan proses kelulusan Kebenaran Merancang (KM) pembangunan sistem reban ayam tertutup dan aktiviti agromakanan yang lain.

“Satu Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian Peringkat Daerah akan ditubuhkan bagi memudah cara urusan membangunkan tanah pertanian milik persendirian yang tidak diusahakan,” kata Perdana Menteri.

Inisiatif menetapkan kadar caj abstraksi bagi sumber air tawar dan air masin yang lebih rendah untuk sektor agromakanan juga akan dilaksanakan, katanya.

“Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan pengurangan atau pengecualian cukai terhadap industri agromakanan,” kata Ismail Sabri. – SM

(Visited 129 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button