Kemalangan

Kereta rempuh stesen minyak

“REMPUHAN yang kuat ,mujurlah tiada sebarang kecederaan ke atas pekerja dan pelanggan,” ujar ringkas Pengurus Stesen Minyak Petronas Taman Rambai Utama, Hafizi Che Hussin.

Dalam kejadian pukul 10.30 malam tadi berlaku apabila sebuah kereta Proton Saga 1.3 dipandu seorang lelaki berumur 57 tahun dipercayai secara tidak sengaja tertekan pedal minyak.

Kereta berkenaan bergerak laju lalu merempuh tiga cermin premis stesen minyak itu serta merosakkan beberapa barangan jualan seperti beras, makanan kucing dan beberapa barangan lain.

Menurut Hafizi, sewaktu kejadian, tiga pekerjanya sedang bertugas di bahagian kaunter manakala dua pelanggan pula berurusan di mesin ATM di dalam premis tersebut.

“Mujurlah kereta itu merempuh cermin di bahagian tengah jika tidak pastinya dua pelanggan sedang berurusan di ATM mungkin mengalami kecederaan parah.

“Kebetulan sewaktu kejadian berlaku pula tidak ramai pelanggan berada di dalam premis ini. Kerugian yang dianggarkan sebanyak RM20,000,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Hafizi lagi, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan, lelaki berkenaan berada di pam 5 untuk mengisi minyak.

Katanya, lelaki itu berjalan dalam keadaan terhencut sewaktu membuat pembayaran di kaunter dan dia tidak jadi mengisi minyak apabila meletakkan semula pam tersebut ditempatnya.

“Lelaki itu kemudiannya masuk ke dalam kereta dalam keadaan kaki kanannya di luar dan pintu kereta masih belum ditutup.

“Secara tiba-tiba, kereta itu terus memecut lalu merempuh cermin kaca kedai dan mengejutkan pekerja serta pelanggan yang berada di dalam premis tersebut,” ujarnya.

Begitupun katanya, lelaki tersebut keluar dari kereta tanpa sebarang kecederaan dan ketika cuba ditenangkan oleh seorang pekerjanya dia sebaliknya naik berang.

Katanya, situasi tegang itu berlaku selama lima minit lelaki itu berjaya ditenangkan ekoran insiden yang berlaku.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – SM

(Visited 331 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button