EkonomiParlimen

Kerajaan tidak merahsiakan prestasi kewangan Petronas

KERAJAAN menolak dakwaan kononnya Petronas cuba merahsiakan prestasi kewangan dan tidak membentangkannya di Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, segala prestasi kewangan syarikat itu boleh dimuat turun oleh orang awam di laman web.

“Petronas tidak merahsiakan prestasi kewangannya tapi Petronas membudayakan akauntabiliti sebagai amalan syarikat dengan pelaporan kerap mengenai perkembangan dan pencapaian syarikat,

“Prestasi kewangan setiap suku tahun dan tahunan di laman web yang boleh di akses oleh orang awam walaupun Petronas bukan disenarai di bursa saham,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Mustapa berkata, Petronas turut mengumumkan prestasi kewangan melalui kenyataan media dan taklimat setiap suku tahun dan ia sentiasa mengamalkan tadbir korporat yang baik.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Madius Tangau (PH-Tuaran) yang meminta Perdana Menteri menyatakan mengapa laporan prestasi kewangan Petronas dirahsiakan dan tidak melaporkan kepada Parlimen sejak dari mula beroperasi sehingga sekarang.

Mengulas pertanyaan Madius, Mustapa berkata, tiada keperluan untuk dibentang di Dewan Rakyat memandangkan ia tidak diperuntukkan dalam undang-undang.

“Kenapa (laporannya) tidak dimaklum di Parlimen kerana ia tak diperlukan oleh undang-undang, tak ada akta yang memaksa Petronas bentang di Parlimen.

“Tapi walaupun tidak dibentang di Parlimen bukan bermakna kita tak tahu operasi Petronas, tak dibentang bukan nak rahsia.

“Walaupun Petronas bukan tersenarai di bursa saham tapi Petronas mengambil pendirian untuk memaklumkan prestasinya kepada umum,” katanya. – SM

 

(Visited 136 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button