Nasionalpilihan

Kerajaan tambah 2,000 renjer komuniti tingkatkan penguatkuasaan hutan simpan

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus menyokong usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan peratusan kawasan perlindungan hutan dan melindungi hidupan liar yang terancam.

Perdana Menteri berkata, peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) akan ditingkatkan kepada RM200 juta berbanding RM150 juta tahun ini.

Menurutnya, peranan renjer komuniti telah berjaya membanteras pencerobohan, pembalakan dan perlombongan haram serta pembunuhan hidupan liar.

“Kerajaan akan menambah bilangan renjer komuniti kepada 2,000 orang berbanding 1,000 orang tahun ini bagi meningkatkan penguatkuasaan kawasan hutan simpan kekal.

“Sebanyak RM60 juta diperuntukkan dengan tumpuan untuk melantik renjer-renjer daripada kalangan veteran ATM, PDRM, Orang Asli dan komuniti setempat.

“Bagi tempoh 2018 hingga 2022, lebih 46,000 aduan dilaporkan melibatkan konflik hidupan liar seperti gajah, harimau dan tapir yang merosakkan harta benda dan tanaman pertanian dengan nilai kerugian dianggarkan RM43 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat di sini hari ini. .

Perdana Menteri berkata, sebanyak RM10 juta disediakan bagi membantu meringankan beban kerugian yang ditanggung oleh rakyat yang terlibat dengan konflik hidupan liar.

Jelasnya, kerajaan Persekutuan akan mempelopori penerbitan sukuk biodiversiti sehingga RM1 billion yang melibatkan penanaman semula hutan terosot yang akan menjanakan kredit karbon.

Kata beliau, inisiatif penanaman semula ini akan diusahasamakan dengan kerajaan negeri yang berminat dan bakal memanfaatkan sebahagian daripada kredit karbon yang dijanakan.

“Kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk potongan cukai bagi aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan,” katanya lagi.

Menurut Anwar lagi, bagi menggalakkan penglibatan lebih banyak sektor swasta dalam memberi sumbangan melalui projek amal atau komuniti, kerajaan akan memberi potongan cukai kepada entiti yang menaja aktiviti penanaman pokok atau projek kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang disahkan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Selain itu katanya, bagi menyokong gerakan perusahaan sosial dalam menghasilkan impak alam sekitar dan sosial yang positif selari dengan rukun kemampanan dan kesejahteraan di bawah Malaysia MADANI, kerajaan akan melanjutkan tempoh permohonan pengecualian cukai ke atas semua pendapatan perusahaan sosial sehingga tahun 2025. – SM

(Visited 103 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button