Nasional

AMMB Holdings lunaskan bayaran pertama RM1.8 bilion penyelesaian 1MDB

KERAJAAN telah menerima bayaran pertama daripada AMMB Holdings Berhad sebanyak RM1.8 bilion bagi penyelesaian berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, wang berkenaan telah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset.

AMMB Holdings Berhad akan melunaskan bayaran baki penyelesaian sebanyak RM1.03 bilion lagi pada Disember ini dan Julai 2022 masing-masing sebanyak RM515 juta.

Sehingga kini Akaun Amanah berkenaan telah menerima sebanyak RM18.176 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.

Tengku Zafrul berkata, dana tersebut telah dan akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC.

“Setakat ini, Kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.54 bilion hutang 1MDB dan RM3.8 bilion hutang SRC.

“Setakat 30 Jun 2021, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/ keuntungan/ faedah bagi bon, Sukuk dan pinjaman berjangka, adalah sebanyak RM39.66 bilion (1MDB) dan RM1.85 bilion (SRC).
“Namun, baki semasa Akaun Amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB
untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja,” katanya.

Setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, Kerajaan masih perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB.

Ini kerana hutang tersebut adalah disokong oleh Kerajaan melalui Jaminan Kerajaan dan Surat
Sokongan semasa hutang-hutang ini diterbitkan.

Tengku Zafrul menegaskan, Kementerian Kewangan akan sentiasa memastikan peruntukan yang secukupnya bagi menyelesaikan hutang 1MDB dan SRC, untuk menguruskan beban kewangan skandal 1MDB dan SRC.-SM

 

(Visited 78 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button