Nasional

Kerajaan tambahbaik bantuan usahawan PMKS yang terjejas banjir

KERAJAAN telah memutuskan untuk menambahbaik bantuan kepada usahawan Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) yang terkesan ekoran banjir untuk memulihkan perniagaan mereka.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan akan memberi geran bernilai RM3,000 melalui TEKUN Nasional kepada setiap perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir dengan peruntukan disediakan sebanyak RM50 juta yang bakal memanfaatkan lebih 15,000 perniagaan mikro dan informal.

Tambah beliau, dana tambahan RM50 juta akan disediakan melalui Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah TEKUN Nasional khusus untuk perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir dengan pinjaman mikro sehingga RM10,000 tanpa faedah di mana tempoh bayar balik adalah sehingga 5 tahun dengan moratorium 12 bulan.

Selain itu, dana sebanyak RM100 juta akan disediakan melalui Program SME Emergency Fund (SMEEF) di bawah SME Corp untuk PKS terjejas, pinjaman sehingga RM100,000 tanpa faedah di mana tempoh bayar balik adalah sehingga 5 tahun dengan moratorium 12 bulan.

Beliau berkata, dalam sektor pertanian pula, kerajaan meluluskan bantuan tambahan kepada pengusaha Agromakanan yang terjejas banjir melalui suntikan dana sebanyak RM20 juta untuk Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Di bawah TBTP, pesawah yang mengalami kemusnahan tanaman padi akibat banjir bakal menerima bantuan secara tunai sehingga RM1,800 per hektar dengan had maksimum sehingga 3 hektar.

“Bagi pengusaha pertanian lain pula, RM50 juta tambahan akan disediakan di bawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA),” katanya.

Menurut beliau, di bawah PPSPA, petani, penternak dan peladang yang terjejas akibat kerosakan banjir, layak untuk memohon untuk bantuan sehingga maksimum 50% daripada jumlah kerugian.

Kadar dan had bantuan adalah mengikut Garis Panduan tabung tersebut dan diberi dalam bentuk barangan atau in-kind iaitu seperti input pertanian atau peralatan. – SM

(Visited 182 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button