NasionalNegeri

Kerajaan stabil kunci rakyat hidup sejahtera – Raja Perlis

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, kerajaan yang stabil dan kuat adalah kunci kepada kesejahteraan kehidupan rakyat sekaligus dapat memacu membina negara yang gemilang.

Baginda bertitah, apa yang diharapkan oleh rakyat adalah kestabilan politik yang dapat membawa kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan sosial rakyat.

Dalam masa yang sama Tuanku Syed Sirajuddin juga turut mengulangi titah agar tidak menjadikan isu-isu sensitif sebagai modal politik untuk menjadi popular sehingga menimbulkan ketegangan kaum dalam masyarakat majmuk.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima sembah mengadap Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz di Balai Menghadap Biru Istana Arau.


Berkenan berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Di majlis tersebut, Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Syed Faizuddin juga berkenan dipersembah maklum tentang Mushaf al-Qur’an al-Karim “Penandaan Waqaf Ibtida’ dan Tajwid Berwarna” edisi terbaharu terbitan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang merupakan naskhah contoh serta rujukan utama kepada industri pencetakan al-Qur’an dan masyarakat Islam di Malaysia.

Tuanku Syed Sirajuddin juga bertitah agar diberikan perhatian kepada mereka yang tidak faham Bahasa Arab ketika membaca al-Quran.

Baginda turut dipersembah maklum mengenai hasrat Perlis melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk menerbitkan ‘Mushaf al-Quran Sirajuddin’ berserta terjemahan Bahasa Melayu.

Satu pasukan penterjemah yang terdiri dari tokoh-tokoh tafsir al-Quran akan diwujudkan di bawah seliaan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis serta bakal mendapat kerjasama Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran di bawah KDM seperti mana yang termaktub dalam Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 dan apabila siap kelak akan diangkat naik untuk kelulusan KDN. – SM

(Visited 50 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button