Ekonomipilihan

Sedania As Salam jalin kerjasama dengan FCA

SEDANIA As Salam” atau “Syarikat” hari ini mengumumkan bahawa mereka telah menandatangani Memorandum Persefahaman (“MoU”) dengan FCA Capital Sdn Bhd (“FCA Capital” atau “FCA”).

FCA Capital bertindak sebagai penasihat kewangan kepada konsortium yang juga merupakan salah sebuah entiti yang telah menghantar bidaan perbankan digital yang ditawarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Keputusan rasmi dijangka akan diumumkan pada suku tahun pertama 2022.

Konsortium tersebut berhasrat untuk memperkasakan sektor perbankan digital yang dikhususkan kepada konsep wakaf, bergantung kepada keputusan dari pihak-pihak berkuasa yang berkaitan.

MoU ini menandakan usahasama antara kedua-dua pihak yang bakal memanfaatkan permintaan perkhidmatan kewangan Syariah yang semakin meningkat dalam ekosistem fintech Islamik.

Berdasarkan laporan oleh S&P Global Ratings, industri kewangan patuh Syariah diramalkan berkembang sebanyak 40% menjelang 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif SASC, Khairul Nisa Ismail berkata, keadaan ekonomi yang
mencabar, memberikan peluang untuk perkhidmatan yang patuh Syariah untuk berkembang dengan lebih pesat memandangkan terdapat banyak institusi yang sedang mencari pembiayaan telus dan beretika untuk melindungi pelaburan mereka.

“Situasi pasaran ini membuka peluang strategik bagi SASC untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai salah satu penyedia fintech Islam utama di rantau ini,” katanya.

SASC telah berkhidmat kepada lebih daripada 70 buah institusi kewangan dan jumlah pinjaman yang diproses setakat ini adalah lebih daripada RM60 bilion, sekaligus mencatatkan kenaikan permintaan untuk pelaksanaan digital dalam perkhidmatan kewangan Islam.

Permintaan yang semakin meningkat ini dijangka akan berterusan ekoran perubahan sentimen pengguna dalam urusan perbankan digital ketika pandemik global Covid-19.

Konsortium tersebut yakin bahawa perbankan digital Islam yang berkonsepkan wakaf akan memainkan peranan yang penting dalam membantu pelan pemulihan ekonomi negara melalui model inklusif dengan servis yang ditawarkan bank.

Menurut Khairul Nisa, FCA yang mempunyai lesen Suruhanjaya Sekuriti berperanan membantu syarikat dalam memberikan panduan korporat terutamanya hal-hal berkaitan ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan syarikat, serta penasihat dan pengurusan projek.

“Kami yakin FCA akan memainkan peranan utama sebagai perintis dalam pembangunan dan penubuhan model perbankan wakaf digital di rantau ini dan sekaligus memperluaskan potensi ekonomi yang berasaskan wakaf.

“Dengan gabungan platform As-Sidq yang bertaraf antarabangsa serta kepakaran kami dalam industri, MoU ini akan membantu kepada peningkatan ekosistem fintech Islam di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah SASC, Datuk Wan Mohd Fadzmi Che Wan Othman Fadzilah berkata, beliau teruja dengan pencapaian SASC kebelakangan ini.

Jelasnya, kerjasama dengan FCA Capital mengesahkan lagi kemampuan dan kekuatan kami dalam industri melalui penggunaan teknologi digital yang akan membantu sektor kewangan Islamik berasaskan Syariah di Malaysia.

“Perkhidmatan fintech patuh Syariah telah berkembang dengan pesat, dan saya yakin SASC akan turut menyumbang dengan memainkan peranan penting dalam ekosistem fintech Islam,” katanya.

Selaras dengan kriteria lesen perbankan digital BNM, inklusi kewangan adalah sebahagian daripada elemen utama dalam rangka kerja perlesenan.

Tambah Khairul Nisa, kedudukan kami dalam ekosistem fintech Islam amatlah strategik untuk memacu inklusi kewangan terutamanya bagi golongan penduduk Malaysia yang tidak mendapat perkhidmatan kewangan secara inklusif.

“Gabungan pengurusan wakaf dengan perbankan digital akan menghidupkan semula pelaksanaan wakaf dan membuka ruang potensi industri ini terutamanya semenjak ESG (Environment, Social
and Governance) menerima tumpuan yang lebih tinggi dan berintegrasi dalam model
perniagaan.

“Konsep perkongsian ekonomi adalah penting ketika musim pandemik untuk membolehkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang mampan untuk kelestarian masyarakat,” katanya. -SM

(Visited 156 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button