Ekonomi

BNM dijangka turunkan OPR bulan depan

SEMAKAN semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun penuh 2021 disifatkan sebagai isyarat kemungkinan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan diturunkan lagi.

Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) dijadual mengadakan mesyuarat berikutnya pada 9 September 2021.

Ahli Ekonomi OCBC, Wellian Wiranto, berkata walaupun pertumbuhan KDNK suku kedua 2021 mengatasi jangkaan pasaran pada 16.1 peratus tahun ke tahun, realitinya prospek ekonomi menerima kesannya berikutan usaha membendung COVID-19 pada masa ini.

Katanya, ini menyebabkan BNM bertindak menyemak turun unjuran pertumbuhan KDNK tahun penuh 2021 antara 3.0 peratus hingga 4.0 peratus berbanding 7.5 peratus, sebelum ini.

Menurut beliau, walaupun pemulihan ekonomi dikatakan akan berlaku secara beransur-ansur bermula  pada suku keempat dan ketara pada tahun depan sepertimana yang dijangka BNM, impak ke atas ekonomi dapat dilihat sekarang sebagaimana dipaparkan menerusi unjuran terkini yang akan disusuli dengan reaksi dalam bentuk kelonggaran dasar seperti OPR.

Malah, katanya, jika perkembangan membabitkan virus itu bertambah baik dan Lembah Klang dibuka semula pada beberapa minggu akan datang, maka BNM berkemungkinan selesa dengan (unjuran) tahap pemulihan di masa-masa akan datang.

Namun kata beliau, ika senario politik menyaksikan perkembangan lebih sukar selepas usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibentangkan pada 7 September ini, ini bermakna OPR turut berperanan untuk menentukan kestabilan pasaran.

“Usul undi percaya terhadap perdana menteri dijadual dikemukakan di Dewan Rakyat pada tarikh itu walaupun terdapat desakan pihak pembangkang supaya diadakan lebih awal.

“Berdasarkan ketidaktentuan keadaan politik sekarang dan jika undian itu serta impaknya tidak dapat meredakan reaksi pasaran, ada kemungkinan BNM akan mengekalkan OPR bagi memastikan kestabilan pada masa itu,” katanya.

(Visited 111 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button