Nasional

TNB tutup 91 pencawang akibat banjir di Pahang, Johor

SHAH ALAM: Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menutup sementara bekalan ke 91 pencawang elektrik di Pahang dan Johor berikutan banjir akibat hujan lebat yang berterusan.

Syarikat pembekal ulititi itu dalam satu kenyataan memberitahu sehingga pukul enam petang ini, 67 pencawang elektrik di Jengka, Maran, Jerantut dan Raub, Pahang serta 24 lagi pencawang di Johor Bahru, Kulai, Johor Jaya, Kota Tinggi dan Kluang, Johor telah dihenti tugas demi keselamatan pengguna.

Untuk Johor, daripada 24 Pencawang Elektrik yang telah dihenti tugas, 13 daripadanya telah diberikan bekalan sementara melalui set janakuasa mudah alih.

Penyambungan semula bekalan elektrik secara kekal atau sementara hanya akan dibuat selepas keadaan dipastikan selamat.

Seramai 2,300 pengguna di Pahang dan 3,900 pengguna di Johor masih belum mendapat semula bekalan elektrtik setakat ini.

“TNB sentiasa bertungkus lumus memulihkan bekalan elektrik dengan mengambilkira aspek keselamatan pengguna elektrik dan pekerja TNB.

“Bagi memastikan pengurusan banjir yang berkesan, Bilik Gerakan TNB di negeri Johor dan Pahang telah diaktifkan hari ini untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini berkaitan bekalan elektrik.

“Para pengguna di kawasan banjir dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB yang beralih atau tumbang,” demikian menurut kenyataan itu.

Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air. Elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.

Setelah banjir surut, pengguna disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian di dalam premis mereka yang dinaiki air. – SM

(Visited 412 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button