Ekonomi

Kerajaan peruntukkan RM40 bilion untuk Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia

KERAJAAN kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sentiasa komited dalam memastikan keupayaan sektor perniagaan terpelihara.

Beliau berkata, sumbangan dan peranan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan di seluruh negara amat penting dalam memulihkan ekonomi negara terutamanya bagi PMKS yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

“Oleh itu, Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion akan memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutamanya untuk pengusaha PMKS dan sektor informal,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada  Majlis Pelancaran Semarak Niaga yang disempurnakan oleh beliau hari ini.

Beliau berkata, Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia merupakan petanda yang jelas komitmen Kerajaan dalam memastikan ekosistem PMKS terus berdaya saing.

Beliau berkata, program ini merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti untuk dimanfaatkan oleh setiap golongan usahawan.

Kata Ismail Sabri lagi, bagi perniagaan mikro dan kecil, Kerajaan peka akan keperluan akses kepada pembiayaan dengan kadar faedah yang rendah.

Sehubungan itu, Skim Pembiayaan Informal dan Mikro atau SPIM akan menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah 0 peratus dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal, jelasnya.

Tambah beliau, saiz dana untuk program ini sahaja berjumlah RM200 juta.

“Bagi usahawan agro-makanan pula, skim mikro kredit oleh Agrobank akan menawarkan pinjaman sehingga RM75 ribu pada kadar 0 peratus untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan.

“Bagi perniagaan yang lebih matang, institusi kewangan seperti SME Bank akan menawarkan pinjaman sehingga RM10 juta di bawah skim IBS Promotion Fund 2.0 dan RM1 juta di bawah Program Pembiayaan Usahawan Muda 2.0 (atau YEF 2.0),” kata Ismail Sabri.

Secara kolektif, Ismail Sabri berkata, saiz dana untuk kedua-dua skim ini berjumlah RM300 juta.

Untuk syarikat yang berdaya maju namun mempunyai kekangan mendapatkan dana baharu, Perdana Menteri Ismail Sabri berkata, Kerajaan dan institusi kewangan telah merangka suatu pembiayaan bentuk baharu yang lebih anjal bagi meluaskan keupayaan untuk memulihkan perniagaan.

“Salah satunya ialah melalui kaedah equity crowd funding dan peerto-peer financing yang akan disokong dengan peruntukan RM80 juta secara geran padanan untuk Malaysia Co-investment Fund.

“Tambahan kepada pelaburan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad atau BPMB sebanyak RM100 juta. Ini bagi membantu syarikat yang berdepan masalah keberhutangan atau gearing yang tinggi dan kaedah pendanaan melebihi RM2.2 bilion melalui pelaburan ekuiti dan quasi-equity turut tersedia,” ujar beliau.

Beliau berkata, kaedah ini diterajui oleh SME Bank dengan dana bernilai RM600 juta.

Selain itu, Ismail Sabri turut berkata, BPMB juga akan menawarkan Skim RESET atau Rehabilitation and Support Through Equity dengan saiz dana sebanyak RM500 juta.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga menyediakan Business Recapitalisation Facility bernilai RM1 bilion untuk tujuan yang sama.

“Secara keseluruhannya, sejumlah RM14.2 bilion dana tersedia untuk PKS. Untuk ketersediaan dana yang berterusan, dana khas BNM terutamanya Targeted Relief and Recovery Facility dan Agrofood Facility telah ditingkatkan secara kolektif sebanyak RM2.5 bilion kepada RM10 bilion. Jumlah ketersediaan pelbagai dana PKS BNM pada masa ini adalah sebanyak RM10 bilion,” katanya.

Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia juga merangkumi jaminan pembiayaan perniagaan, katanya.

“Dalam perkara ini, skim di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan jaminan untuk pembiayaan yang dijadualkan dan distruktur semula dengan had jaminan bernilai RM22 bilion.

“Ini akan membantu syarikat mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperolehi  dan inisiatif-inisiatif ini tidak mengambil kira penambahbaikan kepada Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi PMKS yang terjejas yang telah saya umumkan baru-baru ini,” kata Perdana Menteri dalam memberikan pencerahan. – SM

(Visited 221 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button