Politik

Pemerintahan PH, PN gagal kerana pinggirkan UMNO

KEGAGALAN Kerajaan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional meniru formula pemerintahan Barisan Nasional kerana meminggirkan UMNO sebagai terbesar orang Melayu.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO yang menerajui BN sebagai parti induk memberi banyak kelebihan yang tersendiri.

“Punca kegagalan mereka sebenarnya ialah, meminggirkan UMNO sebagai parti terbesar Melayu.

“Justeru, demi kestabilan politik di Malaysia, rakyat harus diyakinkan bahawa, tidak ada kerajaan yang akan stabil tanpa sokongan parti Melayu terbesar.

“Dan tidak ada parti Melayu yang mempunyai pengaruh dan kesederhanaan seperti UMNO,” kata Mohamad.

Jelas beliau, permasalahan politik yang dihadapi Malaysia pada ketika ini membuka ruang dan peluang keemasan kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Katanya, kegagalan 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan serta ketidakcekapan dan kelembapan Perikatan Nasional menguruskan negara membuka mata rakyat.

“Prestasi BN sebagai Kerajaan selama 60 tahun adalah jauh lebih baik dan lebih berjaya. Belum nampak sebarang petunjuk bahawa kerjasama politik seperti PH mahupun PN, mampu menterjemahkan formula BN yang kita laksanakan dulu.

“Jadi, rakyat sebenarnya boleh diyakinkan, bahawa BN harus dikembalikan segera untuk memerintah demi kemakmuran Malaysia,” kata Mohamad.

Mohamad dalam ucapan perasmian Persidangan UMNO Pemuda, Wanita dan Puteri hari ini, berkata, tidak menjadi satu masalah untuk BN memerintah walaupun hanya mempunyai empat parti komponen.

Jelasnya, UMNO dan BN dalah entiti politik yang sentiasa hidup, dinamik dan progresif.

“Ia senantiasa terbuka dengan segala rumus baharu dalam politik.

“Ia bukan entiti pegun, yang tidak berevolusi. UMNO sedar bahawa perubahan itu adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan.

“Maka demi masa depan Malaysia, UMNO melalui BN, wajib meneroka semua kemungkinan yang wujud untuk dimanfaatkan,” kata Mohamad.

Keanjalan yang dimiliki UMNO dan BN memungkinkan perti itu untuk memeta pembaikan politik di Malaysia.

Justeru sudah tiba masanya untuk UMNO meneroka jalan progresif dengan memikirkan percaturan serta pembaikan politik yang lebih sesuai zaman.

“UMNO mesti memilih jalan yang lebih matang, unggul, diterima dan bermaruah. Jalan yang tidak membiarkan sesiapa berasa ditinggalkan, ditipu dan dikhianati.

“Suka atau tidak, kita mesti mula menerima hakikat. Bahawa sekarang ini adalah zaman kebarangkalian dengan seribu kemungkinan. Akan sampai waktu UMNO, mesti meneroka pembaikan politik dengan terbuka dan berani,” tegas beliau.

Pembaikan politik yang ingin diterokai mesti berteraskan nilai, prinsip dan syarat-syarat yang ketat.

Antaranya mesti menguntungkan UMNO, orang Melayu dan Islam. Selain itu ia mesti melonjakkan UMNO menjadi induk dalam pemerintahan negara.

Pembaikan politik itu juga mesti memberikan kestabilan politik yang lestari dan bukannya sekadar sebuah kerjasama terdesak.-SM

(Visited 263 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button