Parlimen

Kerajaan patuh arahan mahkamah laksana Undi 18 sebelum 31 Disember

KERAJAAN akan patuh dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran automatik menjelang 31 Disember tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Kabinet telah berbincang mengenai isu tersebut pada 10 September lalu dan membuat keputusan untuk tidak membuat rayuan terhadap arahan mahkamah.

“Saya telah berbincang dengan pihak SPR kita sekarang ini patuh kepada keputusan mahkamah itu sahaja.

“Yang berhormat saya memaklumkan bahawa mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 September kita telah memutuskan kita tidak akan membuat rayuan kepada keputusan mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Puchong Gobind Sing Deo di Dewan Rakyat yang ingin tahu sama ada kerajaan akan patuh terhadap arahan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu.


Menjawab soalan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr. Wan Junaidi berkata, kerajaan tidak akan memisahkan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik.

“Untuk makluman dewan bahawa keptusan Mahkamah Tinggi Kuching menyatakan bahawa Undi 18 bersekali undi automatik mesti disekalikan. Tidak boleh dipisahkan.

“Jadi kalau kita hendak memisahkan perkara ini kita kena pinda perlembahaan sekali lagi. Jadi akhirnya kerajaan membuat keputusan tidak perlu dipisahkan, kita laksana mengikut apa yang mahkamah telah beri arahan kepada kita. Keputusan ini tidak dibuat oleh Kerajaan,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuching sebelum itu memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

“Mahkamah dengan ini membenarkan perintah mandamus bahawa responden mengambil semua langkah yang diperlukan bagi membolehkan Seksyen 3 (Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019) berkuat kuasa secepat mungkin dan dalam apa jua keadaan menjelang 31 Disember 2021,” katanya.-SM

(Visited 70 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button