Nasionalpilihan

Harimau Malaya tinggal 150 ekor, guna ART tingkatkan populasi

Teknologi Pembiakan Terbantu (ART) akan digunakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) bagi membiakkan harimau Malaya yang semakin pupus.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Perhilitan akan bekerjasama dengan Taman Zologi Thailand (ZPOT) yang telah menggunakan teknologi tersebut bagi pembiakan haiwan liar.

Menurutnya, selain pembiakan secara fizikal, penggunaan ART dilihat sebagai alternatif terbaik bagi meningkatkan populasi spesies ini daripada hilang selama-lamanya sekiranya tiada langkah diambil.

Katanya, penggunaan teknologi tersebut dilihat mampu membiakkan harimau Malaya yang kini dilaporkan kurang daripada 150 ekor berdasarkan tinjauan dilakukan di kawasan seluas 44,000 hektar sejak 2016 hingga 2020.

Jelasnya, berdasarkan pemerhatian daripada tiga juta gambar Perhilitan mendapati bilangan harimau Malaya dikenal pasti kurang daripada 150 ekor di lapan buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak, Johor, Sabah dan Sarawak.

Abdul Kadir Abu Hashim (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Attapon Srihayrun selepas perasmian Seminar dan Bengkel Teknologi Reproduktif
Terbantu Harimau Malaya dan Haiwan Liar di A’Famosa Resort, Alor Gajah, Melaka.

“Ini sebenarnya satu keadaan yang membimbangkan dan sesuatu perlu dilakukan untuk kita naikkan populasi haiwan ini kerana ia merupakan khazanah negara.

“Negara pernah merekodkan jumlah harimau Malaya sebanyak antara 2,000 hingga 3,000 ekor pada era 1950-an dan kini hanya tinggal lebih kurang 150 ekor sahaja.

“Justeru melalui penggunaan teknologi ART hasil kerjasama dengan Thailand, kita mensasarkan populasi haiwan ini dijangka meningkat dari 150 ekor kepada 400 ekor dalam tempoh 10 tahun akan datang,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Bengkel Teknologi Reproduktif Terbantu Harimau Malaya dan Haiwan Liar di A’Famosa Resort di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan A’Famosa Resort, Datuk Alex Lau Chir Nguan; Pengarah Urusan Pertubuhan Taman Zologi Thailand(ZPOT), Attapon Srihayrun; Ahli Jawatankuasa Lembaga Pemuliharaan dan Penyelidikan ZPOT, Dr. Kamlang Chumpolbanchorn dan Pengarah Perhilitan Melaka, Petra Sulai.

Mengulas lanjut Abdul Kadir berkata, teknologi ART membolehkan kepelbagaian genetik sesuatu spesies dikembangkan supaya sumber genetiknya dapat digunakan bagi pembiakan haiwan terancam pada masa akan datang.

Menurutnya, selain pembiakan harimau Malaya, teknologi itu juga akan digunakan bagi pembiakan haiwan lain terutama Rusa Sambar yang menjadi makanan utama Pak Belang.

Sehubungan itu katanya, seminar yang dihadiri pakar-pakar dalam bidang zoologi dapat manfaat bagi mempercepatkan lagi proses haiwan ini bunting dan pembiakan di pusat konservasi di Lanchang, Pahang. – SM

(Visited 102 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button