Nasional

Kerajaan Negeri perlu luluskan segera pengambilan tanah – PM

Keputusan mesyuarat hari ini

KERAJAAN Negeri perlu memberikan keutamaan dan menyegerakan kelulusan permohonan pengambilan tanah untuk projek Kerajaan Persekutuan supaya agenda kesejahteraan Keluarga Malaysia dapat dilaksanakan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri harus membantu menyelesaikan isu halangan di atas tanah Kerajaan Negeri yang terlibat dengan projek-projek kerajaan berkepentingan awam.

“Ini termasuk tanah projek yang melibatkan jajaran diluluskan secara perizaban manakala tapak pusat operasi, pejabat atau stesen diluluskan secara pemberimilikan,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-138 hari ini.

Hadir sama dalam mesyuarat secara bersemuka ini ialah Menteri Besar dan Ketua Menteri serta Menteri-Menteri Kabinet.

Ismail Sabri menekankan, lima kertas kerja yang dibentangkan merangkumi agenda perbincangan hari ini iaitu komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berhubung perolehan tanah untuk pelaksanaan pembangunan kerajaan berkepentingan awam

Tegas Perdana Menteri, Kerajaan bertanggungjawab menyediakan kemudahan infrastruktur yang berkualiti untuk kemudahan Keluarga Malaysia bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Justeru kata beliau, isu tanah menyebabkan kelewatan dan secara tidak langsung memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan.

“Pada masa sama, perbincangan lanjut akan diadakan berhubung kadar premium yang dikenakan untuk pemberimilikan dan cukai tanah oleh Kerajaan Negeri selaras dengan ketetapan yang telah dibuat oleh Majlis Tanah Negara,” ujar beliau.

Selain itu, kata Ismail Sabri, mesyuarat turut menyentuh tentang Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

Program ini, kata Ismail Sabri, akan mula dilaksanakan pada bulan depan, April 2022.

“Program ini melibatkan 480 lokaliti rintis di seluruh negara yang membabitkan penglibatan semua pihak khususnya Kerajaan Negeri,” katanya.

Oleh itu, kata Ismail Sabri, BMTKM akan menggunakan pendekatan berikut:
i. Menubuhkan Unit Kemiskinan khusus pada peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah.
ii. Mewujudkan pangkalan data kemiskinan yang bersepadu dan berpusat.
iii. Mempertingkat program pendekatan dari bawah ke atas melalui pendekatan keseluruhan negara (whole-of-nation approach),
iv. Melaksanakan penyelesaian kemiskinan pada peringkat akar umbi.

“Program yang bertujuan membasmi miskin tegar pada tahun 2025 ini akan bermula dengan fasa 1 melibatkan 80 lokaliti rintis di seluruh negara.

“Fasa 2 dan Fasa 3 akan bermula pada September dan Disember 2022. Fasa 4 sehingga fasa 6 akan dilaksanakan pada tahun 2023,” kata Ismail Sabri memberi pencerahan.

Mesyuarat hari ini juga, kata Ismail Sabri dimaklumkan mengenai strategi pengurusan bencana disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu,

Untuk rekod, semalam ibu kota Kuala Lumpur dilanda banjir kilat manakala empat kawasan di Gombak, Selangor turut dilanda musibah yang sama.

Perdana Menteri Ismail Sabri berkata, terdapat 11 penyelesaian jangka pendek dan 9 penyelesaian jangka panjang untuk berhadapan dengan pengurusan bencana disebabkan oleh keadaan cuaca tidak menentu

“Penyelesaian jangka pendek antaranya ialah memastikan kesiapsiagaan infrastruktur tebatan banjir (pam, pintu air dan set generator) pada tahap optimum dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Menyelenggara, mendalam dan membersih sistem saliran dan takungan banjir.

“Menaik taraf 516 stesen siren dan 155 stesen kamera web sedia ada dan membangunkan 361 stesen kamera web baharu.

“Menaik taraf 100 stesen pencerapan cuaca menggunakan peralatan berteknologi tinggi yang boleh mengeluarkan ramalan dan amaran cuaca masa nyata (real time) dan boleh percaya (reliable).

“Meningkatkan keupayaan aplikasi myCuaca untuk penyampaian maklumat kritikal yang efisien dan berkesan kepada Keluarga Malaysia,” jelas beliau sepertimana dalam kenyataan yang sama.

Bagi langkah penyelesaian jangka panjang pula, kata Ismail Sabri, langkah-langkah yang diambil ialah seperti berikut:
i. Pembangunan Akta Adaptasi Sektor Air untuk memperkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim sektor air.
ii. Pendekatan nature-based solution seperti pembinaan denai sungai sebagai platform penglibatan masyarakat.
iii. Meningkatkan kapasiti takungan air banjir.
iv. Memperkasa pelaksanaan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat turut bersetuju supaya lebih banyak sesi libat urus antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terutama melibatkan projekprojek pembangunan di negeri-negeri. – SM

(Visited 167 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button