Ekonomi

Kerajaan Negeri digesa jalin kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk menarik pelaburan

KERAJAAN Negeri digesa bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memperkemas dan menaik taraf infrastruktur, serta pembangunan zon dan taman perindustrian di negeri masing-masing.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata usaha itu bagi menarik pelaburan baharu dari luar negara ke negeri-negeri dalam usaha memberi manfaat kepada rakyat.

“Usaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) adalah untuk membawa masuk pelaburan ke negeri-negeri di seluruh Malaysia dan kita tidak mahu kesenjangan pertumbuhan ekonomi yang hanya tertumpu di Lembah Klang dan negeri tertentu sahaja.

“Kami mahu negeri-negeri lain seperti Pantai Timur dan Sabah dan Sarawak turut menikmati pembangunan.

“Oleh itu kita mahu kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf infrastruktur serta pembangunan zon dan taman perindustrian mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Inkubator Kraf Balik Pulau di sini pada Isnin (20 Jun). Turut hadir Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Mansor Othman.

Azmin berkata, tahun lalu Kedah mencatatkan prestasi luar biasa dalam pelaburan negeri dan ini secara tidak langsung memberi peluang kepada rakyat Kedah mendapat pekerjaan tanpa perlu berhijrah ke negeri atau daerah lain.

“Kami di MITI turut melakukan perkara yang sama pada tahun sebelumnya iaitu pelaburan dari Korea Selatan di Kota Kinabalu Industrial Park yang memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah untuk mendapatkan pekerjaan berkualiti.

“Sebenarnya inilah peranan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan MITI untuk memastikan pembangunan dan pelaburan itu dapat disebarkan ke semua negeri agar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dapat dicapai dan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Artikel berkaitan > BERSATU Wadah Unggul Untuk Rakyat Malaysia – Azmin

 

(Visited 159 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button