Negeri

Kerajaan Melaka Perkenal ‘Beras Melaka’, Hanya RM26 untuk 10kg

Kerajaan Negeri Melaka mengambil langkah proaktif bagi menjamin keterjaminan makanan rakyat dengan melancarkan inisiatif Beras Melaka, satu jenama beras tempatan yang dijual pada harga mampu milik.

Dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, program fasa pertama menyaksikan sebanyak 4,000 kampit beras seberat 10 kilogram ditawarkan pada harga hanya RM26 setiap satu. Beras ini dihasilkan daripada varieti padi MR 297 dan akan diedarkan menerusi saluran terpilih seperti pasar tani dan pusat jualan agro.

Menurut Datuk Seri Ab Rauf, inisiatif ini merupakan usaha kerajaan negeri untuk mengurangkan kebergantungan kepada bekalan beras import, selain membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

“Kita mahu pastikan rakyat Melaka mendapat bekalan beras yang berkualiti pada harga yang berpatutan. Ini bukan sahaja menjamin keterjaminan makanan, malah membuka ruang kepada pengukuhan sektor pertanian tempatan,” katanya.

Sebagai langkah kawalan dan bagi memastikan sasaran bantuan tercapai, penjualan Beras Melaka dihadkan kepada satu kampit sahaja bagi setiap keluarga. Selain itu, jualan hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia.

Empat lokasi utama telah ditetapkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi penjualan beras ini iaitu Pasar Tani, Agrobazaar Kedai Rakyat, Program Jualan Agro MADANI dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

Pelancaran ini turut dilihat sebagai simbol komitmen Kerajaan Negeri Melaka dalam memperkasa ekonomi rakyat serta memacu inisiatif sekuriti makanan pada peringkat negeri.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button