Ekonomi

Kerajaan MADANI Umum Tiga Penambahbaikan SST Demi Ringankan Beban Rakyat dan PMKS

Putrajaya,  27 Jun 2025 – Kerajaan MADANI hari ini mengumumkan tiga langkah penting dalam semakan semula pelaksanaan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST), sebagai respons kepada maklum balas rakyat dan pihak industri susulan pengumuman asal pada 9 Jun lalu.

Langkah ini bertujuan memastikan sistem percukaian lebih progresif serta tidak membebankan rakyat dan perusahaan kecil, selari dengan tekad kerajaan untuk mengimbangi keperluan fiskal dan kesejahteraan rakyat.

1. Pengecualian Buah-buahan Import Terpilih

Dalam usaha mengurangkan tekanan kos sara hidup, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bersetuju untuk mengecualikan beberapa jenis buah-buahan import daripada dikenakan Cukai Jualan. Buah yang dikecualikan ialah:

  • Epal
  • Oren
  • Limau mandarin
  • Kurma

Langkah ini menyusul pendekatan sedia ada yang tidak mengenakan cukai ke atas barangan keperluan harian, termasuk beras, ayam, daging, ikan dan sayur-sayuran.

2. Ambang Pendaftaran SST Dinaikkan bagi Perkhidmatan Sewaan dan Kewangan

Bagi membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), kerajaan telah menaikkan had ambang pendaftaran bagi dua kategori perkhidmatan:

  • Perkhidmatan Sewaan atau Pajakan: Ambang dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta
  • Perkhidmatan Kewangan (atas fi atau komisen): Ambang dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta

Ini bermakna hanya perniagaan dengan jualan melebihi RM1 juta setahun akan tertakluk kepada SST, sekali gus memberi kelegaan kepada banyak PMKS.

3. Perkhidmatan Kecantikan Tidak Akan Dikenakan Cukai Perkhidmatan

Kerajaan juga memutuskan untuk tidak meneruskan pelan perluasan skop cukai kepada perkhidmatan kecantikan. Antara yang dikecualikan ialah:

  • Rawatan kuku (manicure dan pedicure)
  • Rawatan wajah (facial)
  • Perkhidmatan gunting rambut dan dandanan rambut

Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira sentimen awam yang menyuarakan kebimbangan terhadap beban cukai kepada pengguna dan pengusaha kecil dalam sektor berkenaan.

Saluran Pertanyaan dan Maklumat Rasmi

Kementerian Kewangan menggesa semua pihak merujuk kepada maklumat rasmi yang disalurkan melalui laman web Kementerian dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Pusat Panggilan SST JKDM di talian 1-300-888-500 untuk pertanyaan lanjut.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button