BeritaPolitikPRK

Serah kepada rakyat buat penghakiman seperti era komunis – Abdul Hadi

SETIAP kes yang bersabit dengan undang-undang negara perlu disiasat oleh pihak yang bertanggungjawab, bukan ‘menyerahkannya’ kepada rakyat untuk membuat penghakiman.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpendapat, tindakan sengaja mendedahkan kes tersebut untuk dinilai oleh rakyat tiada beza dengan amalan yang dilakukan ketika era komunis.

‘Kita ada mahkamah, institusi yang menegakkan undang-undang (bukan) serah kepada rakyat sebagai hakim.

“Itu zaman bintang tiga, komunis. Zaman (ketika) Jepun kalah dulu, panggil orang ramai buat pungutan suara, itu tak boleh,” katanya dalam sidang media yang disiarkan menerusi Facebook rasmi beliau.

Abdul Hadi ditanya tentang tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan audio perbualan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Ditanya adakah langkah yang diambil SPRM iaitu mendedahkan perbualan tersebut sebelum siasatan dijalankan sebagai wajar, Abdul Hadi berkata, “Saya tak tahu cara dia (bidang kuasa SPRM).”

Bagaimanapun menurut Ahli Parlimen Marang itu, bukti audio tersebut perlu diserahkan kepada pihak polis dan Peguam Negara untuk menjalankan siasatan dan bukan rakyat membuat keputusan.

Dalam sidang media itu, Abdul Hadi menolak kemungkinan isu audio tersebut sengaja ditimbulkan pihak-pihak tertentu bagi mengatur strategi menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis.

“Saya tak nampak (sebagai satu strategi). Saya rasa tak ada (untuk memastikan kemenangan pilihan raya kecil) , bergantung kepada kempen, kempen (lebih kepada) banyak isu tempatan,” katanya.

(Visited 508 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button