Politik

Rundingan terus boleh disalahguna, SPRM perlu siasat

Pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia perlu menyiasat elemen rasuah dan salahguna kuasa dalam pemberian 101 kontrak rundingan terus berjumlah RM6.6 billion oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil berkata, walaupun pemberian kontrak secara rundingan terus dibolehkan dalam proses perolehan kerajaan namun ia terdedah dengan elemen salah guna kuasa.

“Namun demikian, perkara ini boleh disalahguna dengan pemberian kontrak-kontrak tersebut kepada kroni-kroni, saudara mara atau pihak yang berkepentingan, di mana besar kemungkinan ada unsur-unsur rasuah dan salah guna kuasa.

“Kerajaan wajar mengumumkan secara terbuka dan telus senarai syarikat-syarikat yang menerima tender terbuka ini kerana ia melibatkan jumlah wang rakyat yang besar,” kata Isham.

Kelmarin, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa sebanyak 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion diluluskan secara rundingan terus ketika pentadbiran PH.

 

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengakui meluluskan projek tersebut ketika pentadbiran PH dan menyifatkan ia perkara lumrah dan tidak bercanggah dengan peraturan kerajaan.

Menurutnya, jumlah tersebut hanyalah mewakili empat peratus daripada keseluruhan nilai pembangunan atau 1.4 peratus berbanding keseluruhan perolehan sepanjang 22 bulan pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Beliau turut meminta Tengku Zafrul mendedahkan senarai atau perincian projek rundingan terus pada era Barisan Nasional (BN), PH dan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu Isham turut menyindiri Pakatan Harapan yang turut mengamalkan sistem rundingan terus yang dicemuh sebelum ini.

“Kerajaan PH yang dahulu berjanji sebelum pilihanraya umum ke-14 untuk kononnya menganugerahkan semua kontrak-kontrak kerajaan secara tender terbuka, ternyata secara senyap-senyap mengabaikan janji-janji mereka lagi,” sindiri Isham.

Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 Buku Harapan Janji 23, menyatakan akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar.

“Janji 23: Memastikan sistem perolehan kerajaan menjana faedah maksimum untuk wang rakyat:

“Untuk memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan baik, Kerajaan Pakatan Harapan akan mereformasi sistem perolehan dan pemberian kontrak kerajaan, demi memastikan ia lebih berdaya saing dan menjana nilai yang terbaik untuk wang rakyat.

“Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar.”-SM

(Visited 87 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button