Nasionalpilihan

Kerajaan ganti Jambatan Manjalara di Kota Setar demi keselesaan Keluarga Malaysia

Kerajaan sentiasa peka dan prihatin akan kepentingan jalinan jalan raya yang sempurna untuk memudahkan
Keluarga Malaysia khususnya di negeri Kedah untuk menjalankan kegiatan harian dengan selamat dan selesa.

Justeru, bagi kelancaran aliran trafik dan meminimumkan tempoh perjalanan, Kerajaan membelanjakan RM425 juta untuk menaik taraf laluan tujuh dari persimpangan Lencongan Barat ke persimpangan Tiga Kemboja, selain
memperuntukkan RM526 juta untuk menaikkan taraf jalan persekutuan Gerik/Kupang/Lunas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, Kerajaan juga akan menggantikan Jambatan Manjalara di Kota Setar yang telah uzur, dengan jambatan baharu bagi memastikan lalu lintas lebih sistematik, untuk kemudahan
Keluarga Malaysia.

“Menyedari pentingnya pendidikan terhadap masa depan Keluarga Malaysia di Negeri Kedah, sebanyak RM1.13
bilion melibatkan 109 projek baharu dan sedia ada telah diperuntukkan oleh Kerajaan bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan.

“Bantuan kepada usahawan luar bandar yang terjejas akibat pandemik COVID-19 turut diberi keutamaan,” ujar Perdana Menteri.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap dalam Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di Perkarangan Astaka Utama, Stadium Darul Aman, Kedah.

Melalui Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) Re-Start, seramai 156 orang peserta telah menerima manfaat, dengan nilai kelulusan sebanyak RM780,000.

“Di samping itu, Program Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) patuh syariah, turut menawarkan pembiayaan
sehingga RM250,000 kepada usahawan luar bandar, melalui agensi pelaksana Bank Kerjasama Rakyat Malaysia
(BKRM) dan Small Medium Enterprise Development Bank (SME Bank).

“Program Start Right (PSR) @KPLB telah diperkenalkan untuk memberi peluang kepada belia luar bandar dalam
kumpulan B40. Dengan bantuan sebanyak RM10 ribu, penerima boleh memulakan perniagaan berdasarkan bidang kemahiran masing-masing.

“Melihat kepada isu kualiti hidup dan kesejahteraan keluarga miskin tegar dan miskin, Kerajaan telah memperkenalkan inisiatif Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), dengan menyediakan kediaman yang lebih selesa dan selamat,” katanya.

Bagi memenuhi inisiatif ini, sebanyak 844 unit rumah kini dibina dan dibaik pulih di negeri Kedah, melibatkan
peruntukan keseluruhan sebanyak RM15.702 juta yang memanfaatkan lebih 4,220 ahli isi rumah luar bandar.

Kerajaan juga cakna dalam meningkatkan fasiliti perubatan, dan tahap kesihatan Keluarga Malaysia termasuk di negeri Kedah.

“Di bawah peruntukan RP4, RMK12, Kerajaan telah merancang untuk membina sebuah Pusat Kanser Wilayah
Utara (PKWU) yang terletak di Sungai Petani.

“Selain itu, bagi meminimumkan kesan bencana banjir di Kedah, Kerajaan komited melaksanakan sebanyak tujuh
Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dalam RMKe-12 dengan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion, termasuk di Sungai
Pendang; Sungai Kedah/Anak Bukit; Baling, Kuala Pegang dan Bandar Jitra Selatan,” ujarnya.

Dalam masa sama, sebanyak RM239 juta juga telah diperuntukkan bagi pembinaan rangkaian sistem pembetungan di seluruh negeri Kedah, yang merangkumi 28 loji kumbahan awam
dan 16 loji kumbahan di premis kerajaan.

(Visited 1,526 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button