Nasional

Kerajaan Fokus Tingkatkan Sara Diri Daging, Bangunkan Industri Jagung Bijan Tempatan

PUTRAJAYA, 16 Jun 2025 – Kerajaan hari ini memperkukuh komitmen terhadap keterjaminan makanan negara dengan meneliti pelbagai strategi bagi meningkatkan kadar sara diri (Self-Sufficiency Ratio, SSR) daging serta merangsang pembangunan industri jagung bijan tempatan.

Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara Bil. 1/2025 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mesyuarat yang turut dihadiri menteri-menteri berkaitan, ketua-ketua agensi dan wakil industri itu menekankan pentingnya langkah jangka panjang dalam memperkukuh sektor ternakan agar kekal mampan, kukuh dan berdaya saing.

“Ini penting bagi menjamin keselamatan makanan negara untuk generasi masa depan,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan selepas mesyuarat.

Sebagai langkah memperkukuh dasar tersebut, mesyuarat bersetuju supaya Malaysian Food Composition Database (MyFCD) diintegrasikan secara rasmi sebagai komponen strategik dalam Dasar Keterjaminan Makanan Negara.

Langkah itu dilihat mampu meningkatkan kesedaran rakyat terhadap amalan pemakanan sihat dan menyumbang ke arah pembinaan masyarakat sihat dan produktif.

Selain itu, satu tumpuan utama mesyuarat ialah kebergantungan negara kepada import jagung bijan, iaitu bahan utama makanan ternakan.

Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah diarahkan merangka strategi pembangunan industri jagung bijan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan import dan mengukuhkan daya tahan sistem makanan negara.

Antara faedah lain yang dijangka hasil daripada pembangunan industri jagung tempatan ialah pembukaan peluang ekonomi luar bandar serta merangsang pertumbuhan sektor agromakanan negara.

Dasar ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang memberi tumpuan kepada kemampanan, keterangkuman dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

“Keterjaminan makanan bukan sekadar soal bekalan, tetapi berkait rapat dengan kedaulatan negara dan maruah rakyat,” kata Perdana Menteri.

Mesyuarat susulan dan pelaksanaan awal beberapa inisiatif yang dipersetujui dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat oleh kementerian dan agensi terlibat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button