PRK

Adakah pengundi Kimanis akan maafkan Karim

CALON Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang memohon maaf kepada pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Permohonan maaf itu dibuat jika beliau pernah melakukan kesalahan semasa menjadi ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, sebelum ini.

Tanpa menjelaskan kesilapan itu, Karim berkata sebarang kesalahan dilakukannya sebelum ini adalah tidak disengajakan.

Beliau merayu supaya diberikan peluang untuk mewakili rakyat di kawasan Parlimen Kimanis ini.

“Saya ingin mohon maaf sekiranya saya ada melakukan kesalahan yang saya tidak sengajakan sebelum ini.

“PRK ini begitu penting kerana ia bakal menentukan masa hadapan kita. Kita harus membuat keputusan yang betul,” katanya ketika berucap semasa berkempen di Kampung Bandau, Membakut.

Karim, 67, pernah menjadi ADUN Bongawan dari 1990 hingga 2013 selain pernah menjawat jawatan kanan dalam Kabinet Sabah sebagai pembantu menteri.

DUN Bongawan terletak di bawah Parlimen Kimanis. Satu lagi kawasan dalam parlimen berkenaan ialah DUN Membakut.

PRK Kimanis bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan dan Barisan Nasional (BN).

Warisan mempertaruhkan Karim manakala BN meletakkan Ketua Bahagian UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, 48, sebagai calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 18 Jan, manakala pengundian awal pada 14 Jan. – BERNAMA

(Visited 28 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button