fbpx
Nasional

Kerajaan fokus bawa pulang rakyat Malaysia dari Hubei

KERAJAAN kini memberi keutamaan untuk membawa pulang 117 rakyat Malaysia dari Wuhan di Wilayah Hubei serta sekitarnya berikutan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan penularan kluster 2019 novel koronavirus sebagai darurat kesihatan dunia.

Duta Besar Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata semua mereka dikenalpasti hasil maklumat yang disalurkan kepada kedutaan selain menerusi media sosial.

“Setakat ini kita berjaya mengenalpasti 117 rakyat Malaysia yang berada di wilayah berkenaan… mereka dalam keadaan baik, jadi kita akan fokus untuk membawa mereka pulang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Nushirwan berkata pihaknya telah berkomunikasi dengan wakil Kementerian Luar China pagi ini bagi perbincangan membawa pulang mereka yang terbabit dengan penerbangan komersil dalam masa terdekat.

“Setakat ini melalui perbincangan kita dengan kerajaan China, ia memang konstruktif. Cuma kita menunggu pihak Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) yang telah bermesyuarat pagi tadi bagi proses menggerakkan proses pemulangan rakyat Malaysia ini,” katanya.


Di laporkan terdapat 35,000 rakyat Malaysia di China di mana 25,000 daripadanya tinggal di Hong Kong, 2,500 daripadanya di Beijing manakala selebihnya tinggal di Hubei.

Sebelum ini Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah berkata pesawat tentera Malaysia tidak dibenarkan masuk ke China untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terperangkap di wilayah yang dilanda wabak koronavirus.

Nurishirwan berkata Kedutaan Malaysia di Beijing juga telah membuka bilik operasi 24 jam sejak seminggu yang lalu dan berhubung dengan rakyat Malaysia yang berada di China.

Ditanya sama ada terdapat rakyat Malaysia sebagai pegawai perubatan yang terlibat dengan rawatan pesakit koronavirus di hospital di negara itu, beliau berkata, tiada rakyat Malaysia terlibat. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button