Nasionalpilihan

Daim minta dibicarakan pertuduhan pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan asset

BEKAS Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan aset yang antaranya termasuk kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Daim yang berusia 85 tahun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Di atas kerusi roda bersebelahan kandang tertuduh, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin berkata:  “Saya faham pertuduhan, mengaku tidak bersalah dan minta dibicara.” Mahkamah kemudian membenarkan Daim diikat jamin sebanyak RM280,000 dengan seorang penjamin, lapor Bernama.

Bekas Menteri Kewangan dari tahun 1984 hingga 1991 itu didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepadanya oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023, dengan tidak mengisytiharkan harta.

Semua harta terbabit antaranya tujuh kereta termasuk Rolls Royce, Mercedes Benz, Jaguar XJS HE, Austin Morris dan Ford Perfect, 38 syarikat antaranya Ibu Kota Developments Sdn Bhd, Menara Ampang Sdn Bhd dan Avillion Berhad, 25 hartanah dan tanah di bawah syarikat di Kuala Lumpur, Ampang, Raub, Pahang dan Kuala Muda Kedah serta akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 13 Disember tahun lalu. Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.

daim

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala pasukan peguam bela Daim diketuai peguam, M. Puravalen. Pada 23 Januari lalu, isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, 66, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sama atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Sebelum ini, Nai’mah dan dua anak lelakinya hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan serta membantu siasatan agensi antirasuah itu terhadap Daim.

SPRM turut menjelaskan bahawa siasatan ke atas Daim adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora iaitu pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara. – SM

Artikel berkaitan > Menara Ilham milik keluarga Tun Daim disita SPRM

(Visited 292 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button