Nasional

Agong isytihar darurat di Batu Sapi

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah memberi perkenan pelaksanaan Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen (P.185) Batu Sapi, Sabah.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah membuat keputusan tersebut selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat ketika menghadap baginda pada pukul 4 petang tadi.

Turut hadir mempersembah taklimat adalah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh.

“Di dalam sesi yang berlangsung selama satu jam bermula dari jam 4.00 petang ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mempersembahkan nasihat beliau, susulan daripada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri, berkenaan pelaksanaan Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen (P.185) Batu Sapi, Sabah untuk ampun perkenan Seri Paduka Baginda.

“Al-Sultan Abdullah telah berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan suatu Ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi P.185 Batu Sapi, Sabah,” kata Ahmad Fadhil.

Dengan Pengisytiharan tersebut apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud penjalanan PRK Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang ke-empat penularan wabak COVID-19. Satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut.

“Sesungguhnya, Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap keselamatan rakyat jelata ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian COVID-19 di negara ini sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri Sabah ke-16 yang diadakan pada 26 September, 2020.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda berpendapat bahawa amatlah wajar PRK ini dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara,” kata Ahmad Fadil.

Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan setelah mengambil iktibar dan pengalaman dari Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 yang menjadi faktor utama gelombang ketiga penularan Covid-19 di negara.

“Kementerian Kesihatan Malaysia telah merekodkan peningkatan mendadak sehingga 148.4 peratus iaitu sebanyak 3,842 kes kumulatif pada 10 Oktober, 2020, selepas dua minggu dari hari mengundi.

“Kes positif harian COVID-19 terus meningkat secara mendadak dua minggu berikutnya dengan peningkatan sehingga 193.7 peratus iaitu sebanyak 11,285 kes kumulatif yang telah dicatatkan pada 24 Oktober, 2020.

“Perkenan Seri Paduka Baginda ini juga mengambil kira jumlah pemilih berdaftar yang tinggal di luar bahagian P.185 Batu Sapi yang dijangka akan merentas daerah dan negeri untuk pulang mengundi,” kata Ahmad Fadhil.

SPR sebelum ini menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Batu Sapi ditetapkan pada 23 November dan hari pengundian pada 5 Disember.-SM

(Visited 195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button