Parlimen

Usul Rayer tuntut King Sing minta maaf ditolak atas kesilapan sendiri

USUL Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer agar Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing meminta maaf di Dewan Rakyat kerana menghina Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah ditolak kerana kesalahan teknikal yang dibuat sendiri oleh Rayer.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, beliau menolak usul Rayer kerana dia tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

“Saya tidak menolak usul tersebut di atas merit kerana YB membuat usul untuk saya menimbang semula keputusan Timbalan Yang Dipertua.

“Manakala di bawah Peraturan 43 saya tidak mempunyai kuasa berbuat demikian. Kuasa untuk menimbang semula atau mengkaji semula keputusan yang telah dibuat oleh Speaker atau Timbalam Speaker adalah di bawah kuasa Majlis Mesyuarat dan bukan kuasa saya.

“Oleh kerana itu saya tolak usul yang berhormat. Itu masalah teknikal. Bukan masalah merit,” kata Azhar sambil ketawa.

Kenyataan Azhar itu membuatkan Rayer yang merupakan seorang peguam tersipu.

“Terima kasih tuan speaker kerana memberi penerangan dengan yakin dan begitu tenang berbanding timbalan speaker yang penuh beremosi,” kata Rayer selepas mendengar penerangan Azhar.

Rayer sebelum itu secara sinis ‘berterima kasih’ kepada Azhar kerana menolak usul yang dibawa olehnya untuk mengesa King Sing memohon maaf.

“Saya menerima jawapan ini dengan hati yang terbuka iaitu tuan speaker telah memaklumkan kepada saya bahawa usul yang dibuat oleh saya mohon YB Bintulu memohon maaf di Dewan yang mulia telah ditolak. Saya berterima kasih kerana Tuan Speaker telah mempertimbangkan permohonan saya dan menolak.

“Tetapi pada masa yang sama saya ingin tanya kepada Tuan Speaker di bawah aturan 36(12) memandangkan Tuan Speaker juga seorang peguam yang terkenal mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina majlis,

“Pada hari Rabu yang lalu YB Bintulu telah mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa Dr. Noor Hisham tidak pergi ke Sabah dan membuat lawatan. Tetapi dalam satu sidang akhbar yang diadakan sejurus selepas insiden di Dewan Rakyat Tan Sri Noor Hisham telah menjelaskan bahawa beliau dan timbalannya telah pergi ke sabah membuat persediaan sebelum pilihan raya dan sebagainya

“Jadi saya berpendapat, kenyataan yang dibuat oleh YB Bintulu adalah mengelirukan dewan dan tidak benar. Kalau Tuan Speaker telah menolak usul saya kita masih perlu menghormati dan memartabatkan status seorang ketua pengarah kesihatan yang bertungkus lumus,” kata Rayer.

Azhar menjelaskan Perkara 36(12) merupakan satu perbahan fakta dan beliau meminta Rayer menulis surat kepadanya agar beliau boleh meminta penjelasan daripada King Sing.

“Sebab YB mengatakan YB Bintulu kata Tan Sri Ketua Pengarah tidak ke Sabah. Kemudian Tan Sri Pengarah kata dia ke Sabah. Jadi itu perbalahan fakta maka saya pun tak dapat selesaikan di sini.

“Boleh tak kalau saya minta yang berhormat menulis kepada saya supaya saya boleh memohon penjelasan daripada YB Bintulu apakah yang dimaksudkan oleh beliau apabila beliau berkata demikian.

“Perbalahan fakta ini saya tidak boleh putuskan kerana A akan berkata begini, B akan kata begitu. Ya,” terang Azhar tenang.-SM

 

(Visited 215 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button