BeritaPendidikan

Alumni wajar bantu santuni pelajar memerlukan – Raja Muda Perlis

Kebelakangan ini, pelbagai isu membabitkan mahasiswa hangat diperkatakan mengenai sebahagian pelajar yang tidak mampu untuk menyara diri mereka di universiti termasuklah terpaksa berhimpit dalam rumah yang sempit disebabkan kos sewaan rumah yang tinggi.

Namun, hal sedemikian Alhamdulillah tidak berlaku di UniMAP setakat ini memandangkan hampir keseluruhan pelajar diberikan penempatan di Kolej-Kolej Kediaman. Justeru, apalah salahnya jika kelebihan yang dimiliki selepas bergraduasi disalurkan kembali untuk kemudahan pelajar yang memerlukan. Sumbangan juga boleh diberikan untuk menaiktaraf infrastruktur atau mendanai usaha penyelidikan universiti. Namun begitu, ada beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh kesemua pihak yang terlibat.

Bagi pihak yang menerima, pastikan tidak berlakunya ketirisan pengurusan kewangan dalam usaha memupuk keyakinan graduan untuk terus menghulurkan sumbangan. Manakala, bagi pihak yang menghulurkan sumbangan yakni Alumni, mestilah ikhlas tanpa ada niat ingin mendapat keuntungan. Segala sumbangan hendaklah atas niat ingin meringankan beban dan membantu memelihara kebajikan dan pembangunan para pelajar.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena ’Sidang Kelapan dan terakhir Bagi Istiadat Konvokesyen 14 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Tahun 2019’ yang diadakan di Dewan Ilmu UniMAP di Kampus Alamnya di Pauh Putra baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor, Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad, Timbalan-Timbalan Naib Canselor serta pengurusan tertinggi universiti.

Tuanku Raja Muda Perlis turut berharap agar para graduan teruskanlah menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada universiti demi generasi muda yang akan memimpin negara pada masa akan datang. Selain dana untuk pembangunan universiti, setiap sumbangan juga dapat disalurkan untuk membantu meringankan beban pelajar yang kurang berkemampuan di universiti.

Seramai 561 orang graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP di istiadat berkenaan.

Antaranya ialah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu-149 serta Program Diploma Pengajian Kejuruteraan termasuklah Pembuatan-74, Elektrik-80,
Metalurgi-61, Mikroelektronik-58, Mekatronik-71 dan Komputer-68.

Untuk rekod, secara keseluruhannya sejak mulanya kewujudan UniMAP yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM), jumlah Alumni yang telah dilahirkan kini hampir mencecah 25,000 orang.

(Visited 94 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button