Nasionalpilihan

Tiada lagi isu lif rosak di Hospital Melaka

Tiada lagi insiden isu pesakit terpaksa dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) menaiki tangga disebabkan kerosakan lif utama di Hospital Melaka yang tular di media sosial tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, sebanyak 11 lif baharu yang telah dinaiktaraf dengan sistem termoden
itu bakal melancarkan operasi harian hospital.

Menurutnya, lif baharu melibatkan kos RM7.2 juta itu mula dinaiktaraf pada 23 September 2022 telah siap sepenuhnya pada 3 Januari lalu iaitu 30 hari awal dari tarikh sebenarnya pada 3 Februari depan.

“Ini adalah satu projek untuk kemudahan awam khusus kepada masyarakat dapat menggunakan lif baharu ini untuk menziarahi pesakit dan waris.

“Paling penting lif ini memudahkan pergerakan pesakit-pesakit dari satu wad ke satu wad lain atau dari wad kecemasan ke wad ICU khususnya dilaluan utama.

“Saya harap dengan siapnya 11 lif baharu ini yang menjadi isu sekian lama berkaitan kerosakan lif kini telah berjaya diselesaikan,” ujarnya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Menaiktaraf dan Penggantian Sistem Lif di Hospital Melaka di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem; Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), G. Logarajah, Pengarah Jabatan Kerjaraya Melaka, Datuk Ir. Ismail Abd. Rahman dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Datuk Dr.Rusdi Abd Rahman

Hameed Mytheen berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada warga JKR yang bertungkus-lumus dapat menyiapkan lif berkenaan lebih awal di samping dapat menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM500,000.

Katanya, sebanyak 10 lif lagi daripada 21 yang terdapat di Hospital Melaka masih boleh digunakan dan akan diselenggara secara berkala.

“Sebanyak 11 lif yang dinaiktaraf ini didapati rosak teruk hingga menjejaskan pergerakan pesakit hingga menjadi isu serta tular di media sosial tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, lif yang telah dinaiktaraf ialah menggantikan lapan unit lif di bangunan baharu, menggantikan satu unit lif di Blok B, Blok A dan Blok Pentadbiran.

Sementara itu Ismail berkata, JKR Melaka sedang menaiktaraf Jabatan Perubatan Transfusi dan projek Menaiktaraf Jabatan Kecemasan dan Bangunan Baru Jabatan Pergigian Pediatrik.

Di samping itu menurutnya, pembinaan Klinik Kesihatan Jenis (KK4) di Simpang Bekoh, Jasin pula kini sedang berjalan baik dan akan diserahkan mengikut jadual. -SM

(Visited 36 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button