Politik

Keputusan UMNO pertimbang semula kerjasama dengan PN demi maruah

 

KEPUTUSAN Biro Politik UMNO untuk mempertimbangkan semula kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibuat demi maruah parti.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, keputusan itu amat wajar walaupun ia pahit tetapi ia demia kestabilan politik.

“Memang wajarlah keputusan Biro Politik UMNO itu untuk mempertimbangkan semula hubungan dengan kerajaan PN. Ini semua demi kestabilan politik negara, ini semua demi negara yang lebih makmur.

“Sejarah telah membuktikan bahawa hanya UMNO sahaja yang mampu memberi kestabilan politik kepada negara kita. Apabila UMNO menjadi kerajaan sejak dari zaman kemerdekaan lagi, negara tidak pernah mengalami krisis politik yang teruk seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 hingga ke hari ini.

“Ini adalah hakikat UMNO dan Barisan Nasional (BN) lebih berjaya dalam memimpin kerajaan. Kita berjaya pastikan kestabilan politik walaupun ada juga gelora yang pernah berlaku. Tetapi situasinya tidak seteruk seperti sewaktu Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM) menjadi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zaidy, negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil maka sebab itulah UMNO dan BN perlu kembali memimpin kerajaan iaitu demi rakyat dan negara.

“Sebenarnya inilah yang dimahukan oleh ahli akar umbi UMNO. Kerana selama berada di dalam kerajaan PN, UMNO seolah-olah diketepikan daripada menentukan hala tuju penting kerajaan wahal UMNO merupakan komponen terbesar dalam gabungan kerajaan hari ini.

“Tidak cukup dengan itu, UMNO juga dihina secara terbuka termasuk oleh Ketua Armada, Wan Ahmad Fayshal yang langsung tidak menghormati persahabatan di dalam kerajaan campuran ini,” katanya.

Beliau berkata, UMNO sudah banyak mengalah dan menghormati persahabatan sesama parti apabila mengambil keputusan untuk tidak bertanding di beberapa kerusi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi memberi laluan kepada rakan-rakan di dalam Bersatu.

“UMNO juga tidak kisah dan masih bersabar apabila banyak jawatan penting di dalam kerajaan langsung tidak melibatkan wakil daripada kami. Atas semangat setiakawan dan demi kestabilan politik tanah air, UMNO merelakan sahaja ini berlaku.

“Apabila kerajaan diserang kerana keputusan Kerajaan yang tidak popular, kami dari UMNO jugalah yang beria-ia mempertahankan kerajaan di media-media sosial. Kami pertahankan kerajaan kerana itu adalah sifat kami dalam persahabatan, sentiasa mengalah dan setia dalam bersahabat. Susah senang bersama demi negara dan rakyat yang kita cintai.

“Kami tahu dan sedar bahawa hari ini UMNO sedang dikhianati. Jika tidak menjadi kerajaan sekali pun, biarlah UMNO menjadi pembangkang sahaja,” katanya. – SM

(Visited 182 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button