Nasional

Keputusan Shafee bebas atau bela diri kes ubah wang haram RM9.5 juta diketahui esok

Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan esok berhubung kes Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Razak dan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dijangka menyampaikan keputusan sama ada memanggil Muhammad Shafee, 70, membela diri atau dibebaskan atas empat pertuduhan itu pada jam 9 pagi.

Pada 12 Mei lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil lapan saksi pada perbicaraan bermula 21 Mei 2021.

Antara saksi itu ialah Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, R Uma Devi; Pengurus Cawangan CIMB Bank Bukit Tunku, Rosnita Ahmad; bekas pegawai LHDN, Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad dan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Farid Jabar.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, manakala Muhammad Shafee diwakili peguam Harvinderjit Singh, Farhan Read dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membabitkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat sini pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam itu juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi membabitkan hasil aktiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa meninggalkan pendapatan yang diterima pada 13 September 2013 berjumlah RM4.3 juta dan pendapatan diterima pada 17 Februari 2014 berjumlah RM5.2 juta melalui dua cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh, yang mana tertuduh dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat penyata bagi pihak tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

(Visited 149 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button