Luar NegaraSukan

Maria Sharapova bertunang dengan jutawan Britain

BINTANG tenis yang telahpun bersara, Maria Sharapova mengumumkan pertunangannya dengan jutawan Britain, Alexander Gilkes, baru-baru ini. Pasangan tersebut menyembunyikan hubungan cinta mereka sehinggalah jelitawan Rusia itu mendedahkan gambarnya bercuti bersama kekasihnya di Cotswolds pada Oktober 2018.

Mereka berdua dipercayai mula berkenalan pada Januari 2018 tetapi memilih untuk tidak menghebahkan hubungan tersebut.

Gilkes, 41, seorang ahli perniagaan yang bergelar jutawan merupakan pengasas bersama dan juga presiden syarikat atas talian yang menjual beli aset Paddle8. Dia juga adalah bekas suami kepada sahabat baik Meghan Markle, Misha Nonoo yang memainkan peranan menyatukan Duke dan Duchess of Sussex.

Gilkes yang menuntut bersama Putera Williams dan Harry di Kolej Eton pernah mendirikan rumah tangga bersama Nonoo selama empat tahun sebelum berpisah pada 2016 namun jutawan kacak tersebut nampaknya bersedia untuk berkahwin buat kali kedua selepas melamar bekas bintang tenis No. 1 dunia itu.

Sharapova telah menggunakan Instagram untuk berkongsi berita gembira itu bersama 4.1 juta pengikutnya dengan disertakan beberapa keping gambar mesra mereka berdua. Di samping gambar tersebut, Sharapova menulis: “Saya berkata ‘ya’ sejak daripada hari pertama kami bertemu.

“Ini merupakan rahsia kami, betul tak.”

Gilkes turut berkongsi berita itu bersama peminatnya dengan komen: “Terima kasih kerana menjadikan saya lelaki yang sangat gembira.

“Saya menantikan seumur hidup saya untuk mencintai kamu, dan belajar daripada kamu.”

Sharapova sebelum ini pernah bertunang dengan pemain bola keranjang yang memiliki ketinggian 6 kaki 7 inci, Sasha Vujacic, pada 2010 tetapi hubungan mereka putus tidak sampai dua tahun. Dia juga pernah menjalin hubungan singkat dengan penyanyi Maroon 5, Adam Levine.

Sharapova merupakan salah seorang pemain tenis yang memiliki pencapaian gemilang setelah merangkul lima gelaran Grand Slam.

Bekas ratu tenis dunia yang berusia 33 tahun itu bersara daripada sukan tersebut pada Februari lalu berikutan isu kecederaan yang kerap menimpanya sehingga menyebabkan kemerosatan prestasi. – The Sun – SM

(Visited 546 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button