MahkamahNasional

Rosmah dilarang hadir perbicaraan di mahkamah

Berstatus kontak kasual Covid-19

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan kes rasuah isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor selepas beliau berstatus kontak kasual dengan seorang pesakit Covid-19.

Mahkamah memutuskan Rosmah dilarang hadir ke perbicaraan hari ini dan esok.

Peguam Rosmah, Jagjit Singh berkata, status anak guamnya di aplikasi MySejahtera adalah “kontak kasual” dan beliau tidak dibenarkan memasuki bangunan mahkamah.

Hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan berkata, prosedur operasi standard (SOP) mahkamah hanya membenarkan mereka yang berstatus “berisiko rendah” memasuki perkarangan bangunan.

“Walaupun saya mendesak untuk beliau masuk, pegawai di tingkat bawah boleh mengatasi keputusan saya.

“Status boleh berubah. Ia mungkin oren atau kuning sekarang tetapi ia mungkin bertukar menjadi biru kemudian,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini kemudian mengarahkan pasukan pembelaan menyemak dan mengemaskini status MySejahtera Rosmah pada Jumaat.

“Jika statusnya ‘berisiko rendah’, kita akan teruskan,” katanya.

Rosmah sedang dibicarakan atas tiga tuduhan rasuah kerana didakwa meminta RM187.5 juta daripada ahli perniagaan, Saidi Abang Samsudin.

Ia sebagai dorongan membantu syarikat milik Saidi, Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek panel solar untuk 369 sekolah di kawasan luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan langsung dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau juga dituduh menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara tahun 2016 dan 2017.

Pendakwa raya ad hoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram akan meneruskan pemeriksaan balas terhadap Rosmah apabila perbicaraan disambung semula. – SUMBER FMT – SM

(Visited 346 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button