
Kepribadian Islam perlu dipupuk lebih giat – Raja Muda Perlis
KANGAR 25 Jan. – Seorang Muslim yang baik akan senantiasa memupuk rasa kasih sayang dan saling menghormati antara sesama kita, mengutamakan kebajikan masyarakat, serta tidak mudah terjerumus dalam perpecahan atau perselisihan.
Keperibadian Islam ini perlu dipupuk dengan lebih gigih lagi terutamanya di kalangan generasi muda, kerana mereka adalah pewaris bagi masa depan kita.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diadakan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail (MTSPJ), Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah berkenan untuk menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 300 orang asnaf yang terpilih daripada kalangan anak kariah Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, anak kariah Masjid Alwi Kangar, anak kariah Repoh dan anak kariah Padang Behor.
Setiap mereka menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700 dengan jumlah penuh wang zakat diagihkan MAIPs pada sesi kali ini sebanyak RM210,000.
Para penerima sebelum itu menjalani saringan kesihatan secara percuma dengan kerjasama Klinik Annura, mendengar ceramah berjudul ‘Jauhi Najis Dadah’ daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis serta ceramah ‘Bangun Jiwa Asnaf’ oleh pihak MAIPs.