fbpx
Nasional

Keperluan bantu mangsa banjir tanggungjawab bersama – Agong

KEPERLUAN membantu mangsa banjir bukan sekadar terletak di bahu jabatan kerajaan, namun merupakan tanggungjawab bersama rakyat negara ini, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka bertitah sikap saling membantu mereka yang ditimpa musibah termasuk banjir, juga dapat mencerminkan sikap bangsa Malaysia sebagai bangsa yang positif dan prihatin kepada kesusahan sesama rakyat tanpa mengira kaum.

“Mereka yang rumahnya dinaiki air sudah pasti fikirannya bercelaru dan bimbang. Jadi kita perlulah membantu sepenuhnya mengikut keperluan. Jika kita masih bertenaga, turunlah untuk membantu dan jika mempunyai keupayaan untuk bersedekah, sedekahlah sedikit.

“Saya harap semuanya membantu dengan ikhlas. Jangan ambil kesempatan untuk menguntungkan diri atau semata-mata ingin mencari undi atau nama. Saya harap ini tidak akan berlaku kerana yang penting adalah keikhlasan,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang bertitah demikian selepas mendengar Taklimat Persediaan Menghadapi Bencana Banjir Pahang 2019/2020 yang dipersembahkan oleh Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.


Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Pada titah itu, Seri Paduka juga mengingatkan semua agensi yang menguruskan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir untuk sama-sama bertanggungjawab memastikan persekitarannya baik dan tidak bersikap lepas tangan atas pandangan sesuatu perkara itu terletak di bawah bidang kuasa jabatan tertentu.

Dalam aspek kebersihan PPS, Al-Sultan Abdullah bertitah ia merupakan kewajipan bersama agensi kerajaan dengan mereka yang menghuninya, yang turut dinasihatkan untuk berjimat-cermat dalam penggunaan bekalan air dan sebagainya sepanjang berada di sana.

“Saya berharap PPS akan sentiasa berada dalam keadaan bersih, memandangkan saya juga ada banyak pengalaman berkunjung ke PPS…ada masanya saya mendapati bilik airnya tiada air, jadi kita kena pastikan perkara seperti ini tidak berlaku,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah juga bertitah supaya maklumat berkaitan banjir, jika boleh dengan menggunakan kecanggihan teknologi masa kini, disampaikan dengan lebih awal kepada penduduk bagi mereka membuat persiapan sewajarnya yang dapat mengelakkan kehilangan harta benda.

Seri Paduka seterusnya juga menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi penyelamat dan jabatan kerajaan seperti polis, bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertungkus lumus membantu rakyat setiap kali banjir berlaku.

“Saya berharap kita semua juga dapat berdoa supaya tiada kejadian banjir besar berlaku dan semoga tidak ada kehilangan nyawa walaupun baru-baru ini saya dimaklumkan ada kehilangan nyawa akibat lemas di Lipis.

“Saya begitu bersimpati dengan keluarga mangsa dan berharap kejadian ini tidak akan berulang kepada mereka yang lain dan dijadikan peringatan bersama,” titah Seri Paduka.

Semalam, media melaporkan penemuan mayat kanak-kanak berusia enam tahun, Nur Dhiya Aqeela Mohd Khairul Adlie yang ditemukan empat kilometer dari lokasi mangsa dipercayai tergelincir pada Isnin lalu, semasa mencuci tangan di Sungai Pulau Kucing, Penjom di Kuala Lipis, dekat sini.- BERNAMA

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button