Politik

Kepakaran Kit Siang-Kian Ming digunakan untuk PRU15

DAP akan bergantung kepada kepakaran veteran parti Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekalipun mereka membuat keputusan untuk tidak lagi aktif dalam arena politik.

Setiausaha Agung parti, Loke Siew Fook berkata, orang ramai mesti faham bahawa politik bukan semata-mata mengenai ahli politik barisan hadapan kerana setiap ahli dalam parti mempunyai peranan yang berbeza.

“Lim Kit Siang dan Ong Kian Ming bukannya meninggalkan DAP. Hanya kerana mereka tidak bertanding pada PRU15 tidak bermakna mereka tidak akan menyumbang kepada parti.

“Saya akan menggunakan kepakaran mereka untuk membantu kami pada pilihan raya dan juga untuk penggubalan dasar,” katanya pada sidang media bersama Kian Ming hari ini.

Untuk rekod, semasa Kongres Kebangsaan DAP pada Mac lalu, Kit Siangh mengumumkan bahawa beliau akan bersara daripada arena politik dan menarik diri daripada bertanding kerusi dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Kit Siang mula menganggotai CEC pada 1966 sebagai setiausaha penganjur kebangsaan dan seterusnya memegang jawatan setiausaha agung selama 30 tahun dari 1969.

Kelmarin Kian Ming yang merupakan Ahli Parlimen selama dua penggal mengumumkan akan berehat daripada politik untuk “merenung semula bagaimana untuk memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran yang dikumpulkan dalam tempoh sembilan tahun lepas dengan sebaiknya”.

Kian Ming yang dipilih sebagai Ahli Parlimen Serdang dari 2013 hingga 2018 dan Ahli Parlimen Bangi mulai Mei 2018 berkata, beliau tidak akan menawarkan diri sebagai calon PRU15.

Mengulas lanjut Loke berkata, persepsi umum bahawa politik adalah semata-mata mengenai menjadi ahli Parlimen atau wakil rakyat perlu diubah.

Beliau menegaskan bahawa keyakinan orang ramai terhadap DAP bukan berpunca daripada mana-mana individu atau pemimpin tetapi kepada parti secara keseluruhannya. – SM

(Visited 219 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button