
Kenyataan rasmi Dr. Azizan Osman
KENYATAAN RASMI Shah Alam, 19 Mei 2025 “Dalam keadaan bising dan manipulasi, kami memilih ketenangan, fakta, dan menghormati proses undang-undang.
“Dalam lebih seminggu ini, pelbagai tuduhan dan spekulasi telah ditularkan di media sosial yang melibatkan saya, isteri saya Datin Wira Hasdiana Ahmad, dan Pengarah Eksekutif RichWorks, Puan Hasnita Ahmad.
Kami memilih untuk tidak melatah atau beremosi. Bagi kami, kebenaran tidak ditentukan oleh viraliti atau tekanan awam, tetapi melalui prinsip keadilan dan bukti yang sah dalam sistem perundangan negara ini.
Satu writ saman telah difailkan terhadap kami bertiga, dan telah disebarkan secara terbuka oleh individu terbabit kepada umum.
Kami menghormati hak beliau di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk membawa pertikaian ke mahkamah.
Namun, dalam masa yang sama, hak kami juga dilindungi oleh undang-undang yang sama, dan kami akan mengambil segala langkah yang sewajarnya untuk mempertahankan kebenaran serta maruah kami.
Kami tidak akan membalas dengan kata-kata kesat, fitnah atau drama di media sosial-kerana itu hanya akan mencemarkan dan mempermainkan institusi kehakiman.
Sebaliknya, kami memilih untuk: – Melindungi pasukan kami dan organisasi yang telah kami bina bersama selama bertahun-tahun – Menjaga prinsip serta nilai dalam menghadapi ujian – Bertindak secara matang, profesional dan berlandaskan lunas undang-undang Kepada semua yang terus menyokong, memahami, dan mendoakan-kami ucapkan terima kasih yang tidak terhingga.
Anda adalah sumber kekuatan kami dalam menghadapi cabaran ini. Kepada para pemimpin dan usahawan di luar sana: – Pegang nilai walau diuji. – Jangan balas api dengan api. – Dan jika perlu berdepan konflik, biarlah ia diselesaikan di mahkamah-bukan di media sosial.
Kebenaran tidak memerlukan suara paling lantang-hanya keyakinan, prinsip, dan bukti yang kukuh.
Kami terus melangkah ke hadapan dengan tenang, yakin, dan percaya sepenuhnya kepada sistem keadilan negara ini.
Terima kasih. Prof. Datuk Wira Dr. Azizan Osman