Mahkamahpilihan

Empat remaja didakwa pukul, rompak, rakam video lucah ahli sindiket

Empat remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini atas pertuduhan merompak, mencederakan dan menyimpan video lucah seorang pekerjanya yang enggan menjadi ahli sindiket itu Mei.

Tertuduh, Soh Sun Hung, 20, Yap Kah Seng, 22, serta dua remaja lelaki berusia 15 dan 17 tahun membuat pengakuan itu pada dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail dan Majistret Nurul Asyikin Rosli.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen, kesemua tertuduh sebagai majikan kepada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun telah menganiaya mangsa dengan cara mencederakan menggunakan tangan, kaki, tali dan sebatang besi.

Kesalahan tersebut dilakukan pada 28 Mei lalu antara pukul 8.00 malam hingga 1.00 pagi di sebuah rumah di Jalan Klebang Jaya, Taman Klebang Jaya dalam daerah Melaka Tengah.

Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau dengan kedua-duanyanya sekali di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Keempat-empat tertuduh turut melakukan rompak dengan sengaja menyebabkan cedera kepada remaja berkenaan pada masa, lokasi dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mohd. Sabri kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan untuk setiap tertuduh.

Sementara itu di hadapan Majistret Nurul Asyikin, kesemua tertuduh secara bersama berdepan pertuduhan memiliki bahan-bahan lucah di dalam telefon bimbit.

Perbuatan itu dilakukan di No 56, Jalan Jati 6, Taman Jati Hang Tuah Jaya, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 3.45 petang 31 Mei
lalu.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sehingga tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal dan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin manakala tertuduh diwakili peguam Joel Chua.

Muhamad Ehsan dalam hujahannya di hadapan Nurul Asyikin menawarkan setiap tertuduh dikenakan jaminan RM10,000.

Mahkamah memutuskan kesemua tertuduh dengan jaminan RM3,500 setiap seorang dan kes tersebut akan disebut semula 14 Julai ini.

Empat remaja itu adalah antara 11 individu anggota sindiket penipuan pinjaman tidak wujud ditahan polis di sebuah rumah di Taman Cheng Perdana kira-kira pukul 10.40 pagi 1 Jun lalu. – SM

(Visited 87 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button