BeritaPolitik

Kenapa Melayu lebih terima Persatuan Cina Malaysia?

SUARA MERDEKA: Pada 27 Februari 1949 – Persatuan Cina Malaya (MCA) pada asalnya ditubuhkan untuk membantu masyarakat cina yang ditempatkan semula dalam usaha kerajaan memerangi komunis di Malaya. Antara tindakan yang dilakukan di dalam rancangan Briggs adalah memindahkan penduduk Cina dari kawasan-kawasan terpencil yang bertaburan dan menempatkan mereka di kawasan penempatan semula atau di Kampung Baru.

Rancangan Briggs yang dilancarkan oleh Sir Henry Gurney adalah untuk melindungi masyarakat cina dari diugut oleh komunis untuk memberi maklumat dan bekalan makanan serta ubat-ubatan seterusnya untuk melumpuhkan kegiatan mereka.

MCA telah banyak membantu dengan mengambil langkah-langkah segera dengan menyediakan rumah, makanan, perubatan dan bantuan kewangan. Selepas penempatan semula, MCA juga telah membantu menyediakan kemudahan elektrik dan air untuk kampung-kampung baru tersebut. Sekolah-sekolah rendah Cina dan perpustakaan awam juga dibina untuk kegunaan masyarakat Cina.

Laporan Arkid Negara Malaysia memetik Persatuan Cina Malaya (MCA) yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949 telah melantik Sir Tun Tan Cheng Lock telah menjadi Presiden yang pertama, Yong Shook Lim sebagai Setiausaha Kehormat dan Khoo Teck Ee sebagai Bendahari Kehormat. Pemimpin-pemimpin pengasas lain termasuk H.S Lee (Pengerusi Jawatankuasa Kecil Politik, Pemuda, Wanita), Tan Siew Sin (Pengerusi Jawatankuasa Kecil Publisiti) dan Leong Chong Leng (Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kebajikan Sosial/ Budaya).

Tan Cheng Lock

Pada peringkat awal penubuhannya, MCA lebih menjurus sebagai Pertubuhan Kebajikan, namun pada tahun 1952 ia telah menjadi sebuah parti politik dengan menyertai Perikatan UMNO-MCA bagi tujuan memenangi Pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur.

Kerjasama tersebut telah menerima sokongan kuat dan memenangi 94 daripada124 kerusi yang ditandingi. Keputusan ini telah membina asas kepada pergabungan 3-parti yang dinamakan “Parti Perikatan” yang akan ditubuh pada masa depan. Berikutan daripada permuafakatan ini, ianya telah membawa kepada kerjasama dalam perjuangan untuk memperolehi kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

MCA memang sejak sekian lama bekerjasama dengan UMNO dalam menuntut kemerdekaan.

Mengikut laporan Arkid Negara Malaysia, pada 13 Jun 1954 – Pada tahun 1954, satu ketetapan telah diambil oleh Jawatankuasa Kerja Agung Perikatan UMNO-MCA untuk menarik keluar semua ahlinya yang bukan rasmi dari mengambil bahagian yang cergas dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Menurut ketetapan yang dikeluarkan, ahli-ahli Perikatan yang dilantik (Nominated) sebagai ahli-ahli tidak rasmi oleh Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Settlement kepada Majlis Kerja Persekutuan, Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan, Majlis Mesyuarat Negeri, Majlis Mesyuarat Settlement, Majlis-Majlis Mesyuarat Perbandaran, Bandaran dan Lembaga Bandaran akan meletak jawatan dari Majlis tersebut.

Ahli-ahli yang dipilih (elected) ke dalam majlis-majlis ini pula akan memulakan persidangan majlis-majlis tersebut. Ketetapan ini diambil sebagai tindakan tidak puas hari terhadap Setiausaha Tanah Jajahan Takluk British yang melengahkan cadangan Perikatan supaya menubuhkan sebuah Suruhanjaya Khas dan bebas bagi menyiasat dan mengkaji soal pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Dengan ketetapan yang diputuskan ini, dua orang Menteri Perikatan dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah meletakkan jawatan. Mereka ialah Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman; Menteri Hasil Bumi dan Kol. H.S.Lee; Menteri Kenderaan Persekutuan Tanah Melayu.

Di samping itu, Jawatankuasa Agung Pusat MCA telah melantik sebuah jawatankuasa bertindak yang akan menguruskan semua soal mengenai ahli-ahli MCA yang menjadi ahli dalam badan-badan kerajaan dan separuh kerajaan kecuali badan-badan mengenai kebajikan dalam negeri.

Ketetapan yang diambil oleh Jawatankuasa Kerja Agung Perikatan UMNO-MCA menarik keluar ahli-ahlinya daripada pentadbiran Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menunjukkan begitu seriusnya perjuangan mereka menuntut kemerdekaan bagi negara ini.

Pada 11 Mei 1946 – Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau United Malays National Organization (UMNO) telah ditubuhkan pada tahun 1946. Istana Besar Johor Bahru, telah menyaksikan kelahiran parti terbesar orang Melayu apabila ribuan orang Melayu berhimpun dan bertemu dalam Kongres Melayu Se-Malaya untuk kali ketiga.

Kongres ketiga ini diadakan berikutan penentangan keras orang Melayu terhadap penubuhan Malayan Union oleh penjajah British selepas berakhirnya pendudukan Jepun pada Ogos 1945.

Sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada Datuk Onn, Datuk Panglima Bukit Gantang, Datuk Nik Ahmad Kamil, Datuk Hamzah Abdullah dan Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) yang dibentuk ketika Kongres Melayu Se-Malaya Pertama pada 1-4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur telah membentangkan Piagam atau Perlembagaan UMNO dan diluluskan oleh 29 anggota pertubuhan yang mewakili pertubuhan orang Melayu di Tanah Melayu dan Singapura.

Almarhum Sultan Ismail telah merasmikan penubuhan Umno pada 11 Mei 1946 dan Dato’ Onn Jaafar telah dipilih menjadi Presiden UMNO.

Penubuhan UMNO sekaligus membubarkan Kongres Melayu Se-Malaya yang sebelum ini menjadi gabungan seluruh persatuan orang Melayu. Kejayaan UMNO yang terbesar ialah memansuhkan Malayan Union seterusnya membentuk Persekutuan Tanah Melayu. Ia merintis laluan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu.

(Visited 807 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button