Nasional

DBKL serbu perniagaan warga asing di Chow Kit

PEGAWAI Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan serbuan bagi memastikan lesen perniagaan tidak disalahgunakan warga asing yang menjalankan perniagaan di tengah bandar iaitu di Jalan Haji Taib dan di Chow Kit di sini, malam tadi.

Kedua-dua lokasi ini adalah antara kawasan biasa warga asing membeli-belah dan kebanyakan peniaga dan gerai juga dikendalikan oleh warga Bangladesh dan Indonesia.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman facebook DBKL, ia berkata sepasukan yang terdiri daripada 131 pegawai dan anggota penguatkuasa menyerbu perniagaan yang beroperasi di kawasan Chow Kit serta Jalan Haji Taib dan memeriksa semua aktiviti perniagaan di kawasan itu.

Pemeriksaan dijalankan ke atas peniaga dan gerai tepi jalan yang menjual pelbagai barangan, termasuk makanan dan minuman, kasut, pakaian terpakai dan juga menawarkan perkhidmatan urut.

Daripada semakan ke atas 200 perniagaan, 12 didapati melakukan kesalahan tidak mempamerkan lesen perniagaan mereka dan dijalankan oleh warga asing secara haram,” katanya sambil menambah bahawa barangan dari kesemua 12 kedai itu turut dirampas.

Ini termasuk sembilan gerai barangan terpakai, dua gerai makanan dan minuman, dan gerai yang menjual produk lain.

DBKL dalam kenyataan itu berkata tindakan penguatkuasaan terhadap 12 peniaga itu dilakukan mengikut peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.

DBKL turut mengingatkan semua pemegang lesen perniagaan supaya memastikan pematuhan syarat yang ditetapkan dalam lesen perniagaan mereka, termasuk beroperasi dalam waktu dan lokasi yang ditetapkan, serta mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa untuk melantik mana-mana pembantu menguruskan premis atau gerai.

“Langkah penguatkuasaan yang ketat akan diambil sekiranya masih ada warga tempatan menjalankan perniagaan yang menggaji atau membenarkan warga asing beroperasi, termasuk pembatalan lesen perniagaan,” katanya.

Barang rampasan dibawa ke stor DBKL di Jalan Lombong di Taman Miharja Cheras untuk proses penyimpanan dan dokumentasi sementara. -SM

Baca : Kementerian perlu kemukakan laporan bulanan mengenai prestasi, sumbangan

(Visited 74 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button