Politik

Anwar rayu orang Melayu undi calon BN-PH

Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pengundi di kawasan majoriti Melayu memberikan sokongan kepada calon-calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15
esok.

Menurut Perdana Menteri, beliau tidak risau pengundi di kawasan Cina yang dilihat amat terjamin.

“Saya nak kawasan Melayu terutamanya kali ini berilah sokongan dan orang Cina nampak teratur, terjamin. Saya nak kawasan Melayu bagi sokongan kepada calon-calon kita BN dan PH, boleh?

“Saya juga minta calon-calon kerjalah dan Insya-Allah, ini amanah yang kita akan pikul untuk membela nasib rakyat,” katanya berucap ketika singgah di Gerai Gulai Kalut di Jalan Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang di sini hari ini.

Selain bertemu rakyat di kawasan Balik Pulau, Anwar turut berkesempatan menunaikan solat Jumaat di Masjid Qaryah Kampung Perlis, di sini.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, Malaysia akan menjadi sebuah negara hebat di Asia sekiranya Kerajaan Perpaduan terus mentadbir negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Kita baru lapan bulan mentadbir negara banyak usaha telah kita buat untuk bela nasib rakyat, bayangkan kalau kita boleh perintah lima tahun. Insya-Allah Malaysia akan jadi hebat sebagai satu negara Asia,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyindir segelintir pemimpin Perikatan Nasional (PN) kerana mendakwa Kerajaan Perpaduan tidak melaksanakan sebarang perubahan untuk membantu rakyat.

“Apa yang kita buat dalam Kerajaan Perpaduan ini adalah tolong rakyat.. naikkan harga padi,
getah, gaji penjawat awam, gaji sektor swasta.. itu kita rancang dan Insya-Allah kita akan
lakukan.

“Ada orang kata kita belum buat perubahan dan yang kata belum buat itu memang mata dia rabun.

“Padi naik ka harga? naik, iaitu RM350 kepada RM500… pasal apa (mereka) tak buat dua tahun sudah? Jadi biarlah Pas, Bersatu nak bercakap. Kita akan terus bela nasib rakyat,” katanya. –
SM

(Visited 157 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button